Tuesday, December 28, 2010
Rayu bantu anak kecil
BATU 12 - Sepasang suami isteri merayu bantuan orang ramai bagi membiayai kos rawatan susulan anak kedua mereka berusia empat bulan yang menghidap saluran jantung tersumbat atau Patent Ductus Arteriosus (PDA).
F Steven, 29, dan isterinya R Punita, 30, ketika ini terpaksa berhutang bagi membiayai kos rawatan anak mereka, S Gabriel di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Punita berkata, anaknya sudah dibedah buat kali pertama ketika berusia 22 hari di mana tiub dimasukkan dari paha anaknya untuk membuka saluran jantung yang tersumbat.
“Pembedahan kedua dilakukan pada hari yang sama untuk membesarkan saluran jantung dan kedua-dua pembedahan itu menelan kos sekitar RM50,000 termasuk kos penginapan dan ubat,” katanya ketika ditemui di majlis pemberian sumbangan Deepavali di Taman Tunas Mahkota, di sini.
Katanya, doktor memaklumkan anaknya perlu menjalani dua lagi pembedahan pada masa akan datang untuk membolehkan perkembangan bayi itu normal sama seperti kanak-kanak sebayanya.
“Sewaktu dalam kandungan dia kelihatan normal namun ketika berusia 35 minggu doktor mengesan keadaannya yang tidak normal dan saya terpaksa dibedah untuk melahirkannya lebih awal.
“Doktor kata pembedahan seterusnya perlu dilakukan untuk mengasingkan oksigen dalam darahnya untuk membolehkan dia bernafas. Apa pun saya diminta hadir ke IJN pada Februari depan untuk berbincang mengenai pembedahan itu,” katanya.
Punita berkata, mereka diminta menyediakan deposit minimum RM500 untuk membolehkan pembedahan seterusnya dijalankan.
“Dengan pendapatan suami sebagai mekanik sebanyak RM700 sebulan, kami tidak mampu untuk menanggung kos perubatan anak di mana setiap bulan kami perlukan sekitar RM300 untuk berulang-alik ke IJN termasuk ubat-ubatannya.
“Susu untuknya juga berharga RM25 setin dan hanya bertahan kira-kira lima hari sahaja,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Catherine, 5 tahun.
Sementara itu, Punita berkata, dia bimbang tahap kesihatan Gabriel merosot jika rawatan susulan tidak dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan kerana anaknya perlu menjalani rawatan untuk suatu tempoh agak panjang dan tidak diketahui bila proses rawatan itu akan berakhir.
“Saya berharap dengan bantuan orang ramai, kami boleh menghantar anak ke IJN bagi membolehkannya menikmati kehidupan normal seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana sering mendapat bantuan kewangan daripada pemimpin setempat,” katanya.
Mereka yang bersimpati dengan nasib keluarga ini, boleh menghubungi Punita di talian 019-9524221.
Labels:
daif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment