KUALA LUMPUR: Pekerja sebuah kedai komputer di sebuah kompleks digital di Jalan Bukit Bintang, di sini, tergamam apabila kedai itu diserbu sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya, dalam operasi membanteras kegiatan cetak rompak perisian komputer, kira-kira jam 4 petang semalam.
Ketua Pasukan Tugas Khas KPDNKK Putrajaya, Fahmi Kasim, berkata operasi yang dinamakan Gerak Gempur Cetak Rompak dan diketuai Penolong Pengarah KPDNKK Putrajaya, Suhaimi Dawi merampas satu set komputer riba, satu set komputer bernilai RM2,500, dua salinan cakera padat dipercayai perisian komputer Microsoft Windows 7 Ultimate dan dua salinan cakera padat Microsoft Office Enterprise 2007 disyaki cetak rompak bernilai RM6,000. Semua rampasan itu bernilai RM8,500.
Menurutnya, kedai terbabit yang beroperasi di tingkat tiga kompleks berkenaan diserbu selepas mendapat aduan dan maklumat berhubung kegiatan cetak rompak perisian beberapa jenama program oleh pemilik hak ciptanya. “Seramai tujuh anggota dan pegawai KPDNKK Putrajaya terbabit operasi itu bersama seorang peguam mewakili Syarikat Microsoft (M) Sdn Bhd. Pemilik kedai terbabit gagal dikesan kerana ketika serbuan, hanya dua pekerja berada di kedai itu.
“Kedua-dua pekerja terbabit diambil keterangan sebelum dibebaskan.
“Saya nasihatkan pemilik kedai komputer tidak lagi menjual komputer dengan memuat turun perisian cetak rompak kerana tindakan mereka seperti menipu pelanggan,” katanya ketika ditemui.
No comments:
Post a Comment