Tuesday, November 2, 2010

Warga emas tinggal dalam hutan




TASEK – Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Begitulah ungkapan yang menggambarkan kehidupan seorang warga emas yang tinggal bersendirian di pondok kecil dalam hutan di sini. 

GRangasamy, 63, tinggal seorang diri dan hanya menoreh getah yang tumbuh dalam hutan untuk menampung perbelanjaan harian. 

Lebih menyayat hati apabila pondok kecil yang didiaminya itu hanya mempunyai dua tingkap dan tidak mempunyai bekalan air paip dan elektrik. 

“Saya mandi di parit yang berhampiran manakala air untuk minum saya peroleh dari tokong cina yang terletak di atas bukit di sini. Sementara makanan pula, saya hanya makan sayur dan jika ada duit lebih baru saya membeli nasi di kedai itu pun dengan kadar RM1 atau RM2 sahaja. 

“Semasa saya berusia sekitar 20-an ahli keluarga saya mati dan sejak itu saya hidup sebatang kara. 

“Selepas kematian ayah, ibu pula menyusul dan diikuti adik-beradik lain. Kematian mereka tidak diketahui puncanya seolah-olah dugaan untuk saya. 

“Sedih dengan kejadian yang menimpa saya mengambil keputusan menaiki basikal ke mana sahaja tanpa arah tuju,” katanya. 

Difahamkan, semasa usianya 50 tahun, dia terpaksa menjalani pembedahan usus akibat makan makanan segera. 

“Makanan segera itu sahaja mampu saya beli dan kini jika lapar saya hanya makan sayur dan minum air yang dimasak menggunakan dapur kayu. 

Kesempitan hidup Rangasamy mendapat perhatian daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tasek. 

Pengerusinya, Mohd Said Mohd Zain, berkata, pihaknya akan membantu Rangasamy untuk mendapatkan bantuan. 

“Sebelum ini, kita tidak tahu dia tinggal dalam hutan disebabkan kawasan yang terpencil dan terasing dengan penduduk lain. 

“Kita mendapat tahu perkara ini daripada penduduk dan difahamkan mereka ternampak sebuah pondok yang didiami seorang lelaki India ketika memasuki kawasan ini. 

“Hasil maklumat yang diterima, pihak JKKK segera memantau dan mendapati hampir empat tahun dia menetap di hutan. 

“Justeru itu, kami memberi beberapa sumbangan berupa makanan harian sebagai membantunya pada peringkat awal,” katanya.

No comments:

Post a Comment