Tuesday, November 2, 2010

Perintah pembebasan Raja Petra kekal



PUTRAJAYA 1 Nov. - Perintah pembebasan Raja Petra Kamaruddin daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kekal berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika memutuskan demikian berpuas hati bahawa rayuan tersebut kini bersifat akademik kerana perintah tahanan dua tahun itu telah tamat.
Perintah yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 73(1)ISA itu bermula pada 22 September 2008 dan tamat pada 21 September lalu.
Keputusan sebulat suara yang turut dicapai oleh Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif itu sekali gus mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskannya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mewakili kerajaan Malaysia berhujah, notis rayuan agar pengendali dan editor laman blog Malaysia Today itu hadir ke mahkamah tidak dapat diserahkan.
Beliau menyatakan, pendirian kerajaan adalah untuk tidak menarik balik rayuan walaupun tempoh tahanan selama dua tahun itu telah tamat.
Tun Abdul Majid menjelaskan, ini kerana rayuan tersebut turut menyentuh beberapa isu perundangan penting antaranya termasuk isu agama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, beliau berhujah, pihaknya menyedari peruntukan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah yang menyebut bahawa Raja Petra perlu berada di sini jika panel hari ini membuat keputusan sebaliknya.
''Berdasarkan atas faktor-faktor tersebut, saya tidak merasakan bahawa kami boleh meneruskannya (walaupun arahan terhadap kami agar rayuan tidak ditarik balik). Saya menyerahkan kepada mahkamah,'' ujar Tun Abdul Majid

No comments:

Post a Comment