Tuesday, November 2, 2010

Ambil tindakan tegas terhadap warden



KUALA LUMPUR 1 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, warden yang didakwa menekap seterika panas ketika mengejutkan pelajar untuk solat subuh perlu dikenakan tindakan tegas jika terbukti beliau melakukan perbuatan itu.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berpendapat warden terbabit tidak mematuhi peraturan dalam mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang sebenarnya hanya boleh dilaksanakan oleh pengetua atau guru besar dan guru disiplin.
''Nampaknya daripada apa yang dilaporkan macam benar, jadi pihak sekolah perlu mengambil berat dan memandang serius hal sebegitu.
''Kalau apa yang disebutkan oleh pelajar ini terbukti memang betul, maka kita tak boleh biarkan. Tindakan yang setimpal perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan hal sebegitu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran dan Persidangan Bio-Malaysia 2010 di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai tindakan seorang warden menekapkan seterika panas untuk mengejutkan pelajar bangun awal pagi dan solat subuh.
Dalam kejadian 12 Oktober lalu, Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, bersama 12 rakan mereka tidur di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dan 11 daripada mereka telah ditekap seterika panas manakala tiga lagi terselamat kerana telah bangun lebih awal.
Akibatnya, pelajar yang terkena seterika panas itu melecur dan mengalami kesakitan berpanjangan.
Menurut Muhyiddin, tindakan tegas itu adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat.
''Kita memang hendak pastikan sekolah kita ini jauh daripada perkara-perkara yang boleh menyebabkan bahaya kepada pelajar.
''Jadi kalau ia dilakukan oleh orang yang kita pertanggungjawabkan (menjaga pelajar) walaupun jumlahnya mungkin kecil, ini kita tidak boleh biarkan.
''Saya telah maklumkan perkara ini kepada Pengarah Pelajaran negeri untuk menyiasat dengan lebih terperinci," katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengumumkan secara terperinci langkah untuk menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijangka bermula pada 2012.
''Yang disetujui adalah ia tidak boleh diteruskan dalam bentuk yang sedia ada, kita perlu tambah baik umpamanya hanya 60 peratus penilaian dalam peperiksaan melibatkan subjek teras seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris berbanding dahulunya 100 peratus.
''Sebanyak 40 peratus akan melibatkan perkara lain seperti kokurikulum serta bidang-bidang yang ada kaitan dengan pembelajaran secara interaktif yang ada hubung kait dengan persekitaran," katanya.
Tambah beliau, langkah penambahbaikan itu bertujuan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan mengelakkan sistem berorientasi peperiksaan seperti sedia ada yang menyebabkan pelajar rasa tertekan.
''Untuk memastikan perkara ini tercapai kita perlu melatih semula guru-guru kita supaya penyampaian pelajaran dapat dilakukan dengan cara yang paling berkesan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment