ALOR SETAR 1 Jan. - "Suka... mahu (kahwin) jika ada yang berkenan."
Demikian kata warga emas Ahmad Md. Isa yang berusia lebih 100 tahun ekoran kesudian seorang wanita dari Kuala Lumpur untuk menjadi calon isterinya.
Malah Ahmad turut melahirkan rasa gembira dan terkejut apabila mengetahui masih ada wanita yang bersedia untuk menjadi teman hidupnya.
"Tak kisahlah siapa dia, asal boleh tanak nasi, masak gulai untuk saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Mengkudu di sini hari ini.
Akhbar ini hari ini melaporkan Sanah Ahmad , 82, dari Kuala Lumpur melahirkan hasratnya untuk menjadi isteri kepada Ahmad setelah terbaca kisahnya yang ingin mencari teman hidup baru-baru ini.
Sanah yang hidup sendirian sejak kematian suami 30 tahun lalu itu juga menyatakan keinginannya untuk bertemu Ahmad di sini.
Dalam pada itu Ahmad memberitahu, selepas mendirikan rumah tangga beliau berhajat untuk terus menetap di rumahnya di sini.
"Sekali-sekala mungkin boleh pergi ke rumah perempuan," katanya.
Sementara itu menurut anak perempuan Ahmad, Fatimah, 64, keluarganya sangat terkejut dan berbesar hati dengan hasrat Sanah.
"Namun kami bimbang masalah kesihatan yang dihadapi bapa boleh menimbulkan kesukaran kepada bakal wanita yang mahu mengahwininya itu nanti.
"Sejak kebelakangan ini bapa sering diserang lelah dan batuk," katanya.
Bagaimanapun kata Fatimah, sekiranya keluarga wanita itu benar-benar serius, perbincangan lanjut mengenai perkara itu boleh dilakukan dengan cara baik.
"Apa pun kedua-dua belah keluarga perlu berbincang supaya tidak timbul masalah di kemudian hari," katanya.
Menurut Fatimah, keluarga menyerahkan kepada takdir dan ketentuan Tuhan jika masih ada jodoh bapanya untuk berkahwin lagi.
"Jodoh pertemuan di tangan Tuhan, saya menyerahkannya kepada ketentuan takdir," katanya.
No comments:
Post a Comment