Tuesday, January 18, 2011

Bencana menunggu


Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2011/01/18

PENGHUNI khuatir blok K Pangsapuri Seri Trompet yang retak bakal runtuh bila-bila masa.
PENGHUNI khuatir blok K Pangsapuri Seri Trompet yang retak bakal runtuh bila-bila masa.
Pangsapuri Seri Trompet retak, tak selamat didiami 

BUKIT BERUNTUNG: Penduduk di blok E dan K, Pangsapuri Seri Trompet, dekat sini merayu pihak bertanggungjawab menangani segera masalah keretakan rumah mereka sejak lima tahun lalu.Kebimbangan itu disuarakan 23 keluarga yang menetap di situ yang memerlukan perhatian pelbagai pihak khususnya pemaju perumahan.Penyelia pangsapuri, Azizan Abdullah berkata, bangunan pangsapuri itu sudah tidak selamat didiami dan penghuninya perlu dipindahkan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. 

Katanya, jika dilihat pada keadaannya sekarang, bangunan itu sudah tidak kukuh dan mungkin akan runtuh pada bila-bila masa bergantung kepada struktur sokongan yang tinggal. 

"Keretakan di bangunan Blok K kelihatan lebih serius dan lapan keluarga yang mendiaminya akan berdepan bencana jika pihak bertanggungjawab gagal mengambil langkah awal memindahkan mereka. 

"Selain itu, 15 lagi keluarga di Blok E juga wajar mendapat perhatian sama berikutan cuaca yang tidak menentu termasuk ribut yang melanda kawasan sekitar, boleh memudaratkan mereka" katanya kepada Sentral di sini semalam. 
Azizan berkata, keretakan bangunan terbabit bukan saja berlaku di bahagian koridor dan lantai setiap tingkat bangunan itu, malah dinding ruang tamu rumah dan membentuk ruang sebesar dua sentimeter. 

Katanya, berlaku mendapan tanah pada lantai bahagian bawah bangunan lima tingkat itu sehingga membentuk lubang. 

Beliau berkata, 11 blok pangsapuri itu kebanyakannya menampakkan kesan keretakan yang ketara. 

“Saya musykil apabila melihat pelan pembinaan pangsapuri yang tidak mengandungi pelan binaan bagi Blok K,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri terbabit, Mohd Rodi Md Nor, 38, mendesak pihak berwajib memindahkan penduduk ke kediaman lebih selamat bagi mengelak kejadian buruk. 

"Bukan saja kami mahu dipindahkan ke tempat selamat, tetapi penempatan kami perlu digantikan memandangkan bangunan ini sudah tidak selamat didiami,” katanya. 

Mohd Rodi berkata, daripada 11 blok Pangsapuri Seri Terompet, ada 150 unit yang tidak terjual dan selamat untuk didiami, sekali gus sesuai untuk memindahkan keluarga yang berdepan masalah itu. 

Bagaimanapun, katanya, rumah berkenaan tidak dilengkapi sistem pendawaian elektrik dan tidak diketahui kesempurnaan sistem salirannya. 

"Semua unit kosong itu, tidak ada bekalan elektrik dan air. Kami memohon pihak bertanggungjawab dapat memastikan semuanya dapat dibaiki dan dipasang sepenuhnya sebelum penduduk dipindahkan," katanya. 

Keluhan penduduk pangsapuri terbabit turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan yang melawat mereka di sini. 

Kamalanathan berkata, beliau akan mengambil langkah awal untuk memindahkan segera semua penduduk yang terbabit. 

Beliau berkata, perbincangan bersama pihak berkaitan juga akan diadakan segera bagi memastikan segala aspek dan keperluan dipenuhi serta diselesaikan sebaiknya. 

No comments:

Post a Comment