Bertarung maut
Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
2011/01/05
PENDUDUK perkampungan nelayan Kuala Sepetang terpaksa menggunakan bot tambang sebagai pengangkutan utama untuk ke pekan terdekat.
KUALA SEPETANG: Hampir dua dekad berlalu, lebih 3,000 penduduk di Kampung Kuala Sepetang masih menggunakan bot tambang untuk berulang-alik ke pekan terdekat bagi urusan seharian berikutan ketiadaan jambatan untuk memudahkan pergerakan mereka.Lebih malang, bot yang digunakan bukan sekadar usang tetapi berisiko kerana tidak dilengkapi peralatan keselamatan mahupun tempat duduk sempurna, sebaliknya penumpang terpaksa berdiri mengimbangi badan sepanjang perjalanan.Walaupun tempoh perjalanan hanya memakan masa kurang daripada lima minit, ternyata penduduk berdepan dengan risiko terjatuh atau lemas terutama warga tua, kanak-kanak dan murid sekolah yang menggunakan pengangkutan itu hampir setiap hari.
Masalah itu didedahkan beberapa penduduk yang menyifatkan perkampungan nelayan Kuala Sepetang seperti dipinggirkan kerana tidak menerima sebuah jambatan walaupun permohonan untuk kemudahan itu sudah dimohon lebih 20 tahun lalu.
Seorang penduduk, Yeong Ye Huar, 30, berkata sebelum ini pernah berlaku beberapa insiden buruk membabitkan penduduk termasuk murid sekolah yang terjatuh ke sungai ketika menaiki bot penambang.
"Kami tiada pilihan lain selain menggunakan bot tambang kerana ia satu-satunya pengangkutan yang menghubungkan kami ke kawasan luar dari perkampungan nelayan itu.
"Sudah menjadi kebiasaan kepada kami, tetapi sekurang-kurangnya jika ada jambatan dapat menyelamatkan kami daripada terus menggunakan pengangkutan bot," katanya ketika di temui pada majlis ramah mesra anjuran Pertubuhan Kebajikan Tempatan As Siddiq, baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk yang juga aktivis masyarakat, Oi Kin Liu, 52, berkata permohonan untuk mendapatkan kemudahan jambatan itu sudah lama dibuat, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan mengenainya.
"Masalah itu membelenggu penduduk setempat dan kegagalan pihak berkaitan menyediakan jambatan berkenaan menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan bahkan ia dijadikan modal berkempen ketika pilihan raya kecil lalu.
"Saya bimbang jika masalah itu tidak diselesaikan segera, isu berkenaan akan dimanipulasi lagi pihak tidak bertanggungjawab untuk terus menyalahkan kerajaan, sedangkan ia boleh diselesaikan secara baik," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan As-Siddiq, Habidi Zain, berkata pihaknya akan membantu menyalurkan permasalahan itu kepada pihak berkaitan selain menyelesaikan secara berperingkat berhubung beberapa isu terpencil yang dihadapi penduduk di perkampungan nelayan itu.
"Sebagai permulaan, kita akan membaik pulih beberapa kemudahan seperti gelanggang bola keranjang yang sudah uzur selain menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk miskin di perkampungan itu dalam masa terdekat," katanya.| Bertarung maut
No comments:
Post a Comment