Wednesday, January 5, 2011

'Lupakanlah hasrat jadi isteri ayah kami'


Ahmad Md. Isa dijaga dua anaknya, Hamiah (kanan) dan Fatimah di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 4 Jan. - Hasrat dua wanita, Sanah Ahmad, 82, dan Zainab Salleh, 70, untuk menjadi teman hidup kepada warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa mungkin tidak akan tercapai.
Ini kerana anak-anak Ahmad dengan rasa berat hati terpaksa meluahkan rasa tidak bersetuju terhadap hasrat bapa mereka itu untuk berkahwin semula dalam usia tersebut memandangkan keadaan kesihatannya yang semakin hari semakin teruk.
Sambil menghormati hasrat dua wanita tersebut, seorang anak Ahmad, Fatimah, 64, berkata, tahap kesihatan bapanya semakin menyusut apabila sudah empat hari tidak menjamah nasi dan terpaksa kencing dengan menggunakan botol kerana tidak larat untuk berjalan.
"Saya minta maaf. Saya terpaksa menolak hasrat mereka yang ingin menjadi isteri kepada ayah saya.
"Saya minta keluarga Sanah tidak datang ke rumah saya Sabtu ini kerana kesihatan ayah semakin teruk," katanya ketika ditemui di Alor Mengkudu di sini hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia menyiarkan keinginan Ahmad untuk berkahwin lagi bagi mengubat kesunyian dan ekoran itu Sanah dari Kuala Lumpur dan Zainab dari Kerteh sudi untuk menjadi teman hidup lelaki tersebut.
Fatimah berkata, sejak seminggu lalu tahap kesihatan ayahnya semakin menurun dan memerlukan penjagaan yang rapi.
"Kini setiap hari dia minta urut dadanya kerana sakit-sakit, batuk dan lelah semakin teruk.
"Makan pun dia tiada selera dan hanya makan kuih buah Melaka yang saya buat dan jamah sedikit buah-buahan," ujarnya.
Tambah Fatimah, dia meminta dua wanita yang berhasrat untuk berkahwin dengan ayahnya agar melupakan hasrat tersebut dan meneruskan kehidupan masing-masing seperti biasa.
"Saya memang terkejut kerana tak sangka ada lagi wanita yang masih berminat dengan ayah saya.
"Tetapi tengoklah keadaan ayah saya, dia nak uruskan diri sendiri pun tidak boleh, bagaimana nak jaga seorang isteri," katanya yang tidak mahu wanita itu terbeban menjaga ayahnya.
Jelasnya, kos untuk membeli ubat-ubatan ayahnya juga tidak mampu dibelinya dan jika ada pihak ingin membantu, dia sangat mengalu-alukan mereka yang ingin membantu meringankan bebannya.

No comments:

Post a Comment