Saturday, January 22, 2011

Guna wang sumbangan untuk anak OKU beli dadah



DUNGUN - Demi melepaskan giannya terhadap ketagihan dadah, seorang ibu tunggal sanggup menggunakan wang sumbangan yang diberikan kepada anaknya, seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) untuk membeli bahan terlarang itu.

Wang itu katanya, diperoleh hasil meminta sedekah dengan menjadikan anak istimewanya sebagai ‘modal’ meraih simpati.

Wanita berstatus janda berumur 23 tahun ini juga mengakui, dia mengambil dadah untuk meredakan tekanan selepas ditinggalkan suami dan terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anak sendirian, selain perlu menjaga bapanya yang terlantar akibat angin ahmar.

Lebih ironi, anak bongsu daripada 11 beradik ini memberitahu, lima abangnya juga telah meninggal dunia akibat HIV disebabkan penyalahgunaan dadah.

“Saya mengalami tekanan emosi sejak ditinggalkan suami, apatah lagi terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan seorang anak kurang upaya (OKU), dan pada masa sama kena jaga ayah yang mengalami strok.

“Bermula dari situlah saya mula mengambil dadah untuk menghilangkan stres,” demikian akui wanita berstatus janda anak satu yang dicekup polis narkotik dalam operasi khas di Dungun, petang kelmarin.

Wanita bertubuh genit itu menceritakan, episod duka hidupnya bermula enam tahun lalu apabila suaminya lepas tangan setelah tidak lagi tinggal sebumbung bersamanya.

Dia yang pernah bermalam di lokap polis beberapa kali sebelum ini kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah berkata, hidupnya kian terhimpit apabila terpaksa menjaga seorang anak lelakinya yang kurang upaya, tambah lagi terpaksa mencari wang bagi membiayai kos membeli ubat bapanya yang terlantar sakit akibat serangan angin ahmar.

“Ketika itu saya benar-benar merasakan hidup ini amat menyeksa. Saat itulah saya cuba keluar dari kemelut kehidupan yang amat memeritkan itu, namun nasib saya kurang baik apabila bertemu rakan sebaya dalam kalangan penagih dadah.

“Mereka mula merasuah saya dengan dadah dengan alasan ubat ini boleh membuat fikiran kita tenang, namun hakikatnya, saya sudah menjerat diri sendiri sehingga terperangkap dalam lurah yang menggelapkan masa depan saya,” kata wanita berusia 23 tahun itu.

Janda muda yang memasuki alam rumah tangga ketika berusia 17 tahun itu selepas meninggalkan persekolahan itu berkata, dia pernah memasang niat untuk meninggalkan tabiat buruk itu, namun persekitaran menyebabkan keimanannya belum cukup kuat untuk melawan kehendak nafsu dadah yang sentiasa membara.

Menurutnya, lima abangnya telah menemui ajal kerana menghidap HIV akibat penyalahgunaan dadah, manakala seorang kakaknya juga dipercayai turut terlibat dengan aktiviti haram itu.

Anak bongsu daripada 11 beradik itu berkata, pernah suatu ketika, sewaktu kehabisan wang dia meminta sedekah daripada orang ramai dengan alasan untuk membeli makanan buat anak OKUnya.

Namun akibat terlalu gian, dia terpaksa menggunakan wang sumbangan itu untuk membeli dadah.

Bagaimanapun, apa yang dilakukannya semata-mata untuk membolehkan dia mendapat tenaga bagi menjalankan kerja-kerja untuk mendapatkan wang bagi menyara diri serta anaknya yang tidak sempurna itu.

“Dengan pendapatan sebagai pembantu warung makan, berapa sangat yang saya dapat. Hasilnya pula sebahagiannya saya buat beli dadah.

“Saya pernah berniat untuk kembali ke pangkal jalan, namun siapa yang ingin menerima dan membimbing saya kerana masyarakat sekeliling sudah memandang jijik, apatah lagi latar belakang keluarga saya juga penuh dengan rekod buruk yang dianggap amat hina itu,” katanya.

Wanita yang berasal dari Paka ini ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah diketuai Inspektor Wahid Sujani ketika mengunjungi sebuah rumah di Kampung Gong Gemia yang dijadikan lokasi untuk menagih dadah.

Hasil operasi, lebih 10 penagih berjaya ditahan, kebanyakannya positif dadah jenis Methampethamine dan heroin.

Janda terbabit yang turut mempunyai beberapa rekod penyalahgunaan dadah bagaimanapun dibebaskan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan ke atas wanita terbabit.

No comments:

Post a Comment