Saturday, January 22, 2011

Penduduk takut lalu bangunan terbengkalai


SUNYI...bangunan terbengkalai yang dipenuhi semak-samun.
SUNYI...bangunan terbengkalai yang dipenuhi semak-samun.

RAWANG: “Apa yang penting keselamatan penduduk sekitar dan orang awam yang lalu lalang di sini. Ia bukan saja sunyi, malah saya juga jarang melihat pihak berkuasa melakukan rondaan di kawasan ini.
“Selagi boleh, saya memang mengelak melalui jalan ini pada waktu malam walaupun saya lelaki. Kawan perempuan pun saya selalu sarankan supaya guna jalan lain demi keselamatan mereka,” kata Muadzam Muhamad, 25, berhubung blok bangunan tiga tingkat terbengkalai dan dilitupi semak-samun sejak sekian lama di tepi jalan berhampiran Kampung Baru Kundang, di sini.

Muadzam yang menggunakan jalan di kawasan berkenaan untuk ke tempat kerjanya di pekan Rawang sejak empat bulan lalu turut melalui kawasan itu pada waktu malam dan malangnya tiada lampu jalan di situ menyebabkan kawasan itu bertambah sepi.

Katanya, walaupun menggunakan jalan itu pada setiap hari, dia masih kurang yakin untuk melaluinya pada waktu malam ekoran pernah beberapa kali melihat lelaki mabuk berkeliaran di sekitar bangunan terbabit.

“Bangunan terbengkalai begini tak sepatutnya dibiarkan. Ia bukan saja mencemarkan mata memandang, malah boleh mengundang perkara negatif seperti menjadi sarang aktiviti penagihan dadah dan maksiat.

“Saya harap pihak berkuasa memantau kawasan ini dari semasa ke semasa supaya kami yang menggunakan jalan ini setiap hari rasa lebih selamat,” katanya.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rokiah, 60, berkata, dia pernah melihat kelibat beberapa lelaki masuk ke bangunan tidak siap terbabit pada lewat petang.

Menurutnya, walaupun keadaan mereka agak mencurigakan, dia tidak mengambil peduli mengenainya kerana pernah dinasihati rakan supaya tidak masuk campur.

“Bagi saya, bangunan terbengkalai sedemikian rupa sama ada patut dihapuskan atau disiapkan menjadi bangunan yang sempurna. Takkan nak tunggu berlaku jenayah baru mahu bertindak,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati kawasan sekitar bangunan lengang dengan hanya sekali sekala kenderaan melalui kawasan terbabit.

Bagaimanapun, jalan di situ dipenuhi kenderaan pada awal pagi dan lewat petang.

Tinjauan turut menjumpai botol minuman keras dan gelas di bangunan terbabit dipercayai baru ditinggalkan berdasarkan keadaan botol dan gelas yang masih baru digunakan.

No comments:

Post a Comment