Saturday, January 22, 2011

Nizar tiada hak buat fatwa undi BN haram



LABIS 21 Jan. - Timbalan Perdana Menteri hari ini menempelak bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana membuat 'fatwa' adalah haram mengundi calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari ini.
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyifatkan isu itu 'cerita' lama yang sengaja dimainkan pemimpin Pas setiap kali calon Pas menentang BN pada pilihan raya.
"Soal pokok, ini adalah hak rakyat. Dalam perlembagaan negara dan sistem berparlimen, apabila ada pilihan raya, rakyat berhak untuk buat pilihan.
"Ini bukan hak Nizar untuk kata ia (undi) haram. Siapa dia pula nak jatuhkan hukum? Saya fikir orang Tenang ini bijak (memilih calon), sejak dari dulu tak ada masalah," katanya diminta mengulas kenyataan Mohammad Nizar yang mendakwa mengundi calon BN adalah haram pada PRK DUN Tenang hujung bulan ini.
Muhyiddin ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak bangunan tambahan Sekolah Agama Labis, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Pas sendiri sebenarnya telah 'melanggar' fatwa mereka kerana sebelum ini tidak membenarkan calon wanita bertanding pada pilihan raya.
"Dulu dia (Pas) kata wanita haram bertanding, tapi sekarang dia kata boleh bertanding. Sekarang dia sudah tak tahu nak pakai fatwa mana, tak tahu nak pakai asas agama apa," katanya.
Mengenai kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak atau sebaliknya dengan Pilihan Raya Umum Ke-13, Muhyiddin enggan mengulas lanjut kerana menyifatkan terlalu awal untuk berbuat demikian.
-utusan

No comments:

Post a Comment