Saturday, January 22, 2011

Remaja pendiam mati tergantung



SEDAKA - Seorang remaja lelaki yang berusia 19 tahun ditemui mati tergantung di stor belakang rumahnya di Kampung Sedaka, petang semalam.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, anak bongsunya itu dari lima orang adik beradik.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari. Ketika itu saya berada di dalam rumah, kemudian saya keluar untuk cari daun pisang untuk diberikan kepada arnab.

“Selepas saya keluar, saya nampak arwah anak saya tergantung di stor. Saya panik dan tidak tahu nak buat apa. Saya ambil keputusan untuk menghubungi suami yang tiada di rumah pada masa itu,” katanya.

Menurutnya, suaminya sampai ke rumah pada jam 2 petang.

“Suami saya pun dalam keadaan bingung dan sedih. Suami memanggil rakan-rakan untuk berbincang kerana keadaan suami bercelaru dan tidak mampu membuat keputusan. Kemudian, suami menghubungi polis kira-kira jam 3.15 petang,” katanya.

Ibu mangsa yang masih dalam keadaan bersedih itu mengatakan bahawa tiada perubahan yang berlaku sebelum anaknya ditemui mati.

“Dia (mangsa) memang macam biasa. Tetapi anak saya ini memang jenis pendiam dan tidak banyak bergaul dengan rakan-rakan.

“Dia banyak menghabiskan masa di rumah dan di bilik. Perkara yang arwah minat adalah mencantikkan motosikalnya,” katanya.

Selain itu, ibu mangsa menafikan wujudnya perselisihan faham antara keluarga dan anaknya itu.

Dia berkata, anaknya itu seorang yang pembersih.

“Arwah memang seorang pembersih dan biliknya sentiasa kemas. Semua barang-barangnya berada dalam keadaan yang tersusun.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati bilik arwah memang kemas sehingga peralatan di dalam laci komputer tersusun rapi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu mengesahkan kejadian tersebut.

Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

No comments:

Post a Comment