GRIK: Dua beradik berusia 15 dan 17 tahun sepatutnya menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, namun kekangan kewangan ibu bapa tidak dapat menyekolahkan mereka, sebaliknya menamatkan persekolahan setakat tahun enam.
Lebih malang, empat lagi adik-beradik mereka berusia 19, 20, 22 dan 24 tahun turut tercicir dalam pelajaran dan hanya mempunyai kelulusan tertinggi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berikutan kemiskinan keluarga.
Siti Norazma Yaakob, 17, dan adik lelakinya, Mohd Zulkifli, 15, reda dengan nasib keluarga mereka dan tidak kisah dicemuh masyarakat walaupun menerima nasib sama dengan empat adik-beradik mereka.
Pasangan suami isteri, Yaakob Harun, 45, dan isteri, Zaitun Othman, 41, tidak pernah bermimpi untuk hidup mewah, sebaliknya mereka bersama lapan anak hanya menumpang teduh di pondok kecil diperbuat daripada buluh dan kayu hutan tanpa bekalan elektrik di sebuah lokasi terpencil di Kampung Plang Keledang, di sini, sejak lima tahun lalu.
Yaakob berkata, pendapatannya sekitar RM400 sebulan sebagai buruh kasar tidak mencukupi bagi menampung keluarga dan dia kesal tidak berupaya menyekolahkan enam anaknya sebelum ini.
Menurutnya, empat anaknya, Mohd Shaiful Zaman, 24, Mohd Zamri, 22, Rabiatul Adawiyah, 20, dan Mohd Sayuti, 19, yang kini masih belum bekerja hanya menamatkan persekolahan setakat tahun enam.
No comments:
Post a Comment