MELAKA: “Ayah harap Along pulang, jangan menghilangkan diri tanpa khabar berita kerana emak dan adik (bongsu) selalu teringatkan Along. Mereka rindu serta fikirkan masa depan kerana pelajaran itu penting.”
Begitulah rayuan Abdul Hamid Abdul Ghani, 46, dari Pulau Sebang, Alor Gajah kerana bimbangkan anaknya, Muhammad Rashid, 14, yang gagal dikesan sehingga kini selepas keluar dari asrama bersama pelajar seniornya pada 30 Disember lalu.
Pengawal keselamatan itu berkata, anak sulung daripada empat beradik yang tinggal di asrama Madrasah Bahrul Ulum, Tengkera Pantai, dekat sini, tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika pulang ke rumah kira-kira seminggu sebelum kehilangannya.
Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila dimaklumkan guru kira-kira jam 10.15 pagi pada hari kejadian, bahawa anaknya tiada di asrama.
“Saya dimaklumkan Along keluar dari kawasan asrama dengan seorang pelajar lelaki berusia 22 tahun sekitar jam 3 pagi. Ia hanya disedari pengurusan madrasah berkenaan ketika mahu menunaikan solat Subuh.
“Sebaik mengetahui kehilangannya, hati saya berdebar dan tidak menyangka dia sanggup berbuat demikian kerana Muhammad Rashid pendiam dan kurang bergaul dengan pelajar lain.
“Lebih pelik, dia langsung tidak memaklumkan kami ke mana dia pergi. Emaknya begitu runsing hingga semua kerja yang dibuat tidak keruan kerana teringatkannya,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment