Tuesday, January 4, 2011

Jangan terkejut polis ketuk pintu rumah


SHAH ALAM 3 Jan.- Orang ramai di negeri ini dinasihatkan agar jangan terkejut jika terdapat anggota polis datang mengetuk pintu rumah mereka dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, langkah tersebut merupakan strategi terbaru polis pada tahun ini bagi memperkenalkan diri mereka dalam usaha meningkatkan kerjasama dengan anggota masyarakat untuk membanteras jenayah.
"Anggota polis akan mengetuk pintu-pintu rumah penduduk dan pegawai yang ditugaskan bagi sesuatu kawasan yang dipecahkan kepada sektor tertentu akan memperkenalkan diri mereka.
"Dalam lawatan rumah ke rumah itu, pegawai terbabit akan mengedarkan sekeping kad kecil yang tertera nombor pegawai terbabit dan telefon balai polis.
"Jadi janganlah lari kerana kami bukan mahu membuat tangkapan dan jangan risau ia tidak ada kaitan dengan politik atau jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut Tun Hisan, pendekatan itu sebenarnya adalah bagi mewujudkan 'sentuhan peribadi' dengan anggota masyarakat selain membolehkan orang ramai membuat aduan tentang masalah mereka termasuk kes jenayah yang berlaku di sektor-sektor terbabit.
"Anggota saya memang bersedia untuk menerima sebarang aduan termasuk masalah gangsterisme di sekolah, dadah atau kecurian, mereka akan memberikan sokongan kepada masyarakat dan menjadi penjaga keamanan," katanya.
Katanya, buat masa ini, pihaknya masih melakukan proses mencetak kad yang dijangka siap hujung minggu depan dan kemudian akan diagihkan kepada orang ramai semasa sesi lawatan rumah ke rumah kelak.
"Janganlah nanti bila pegawai saya datang penduduk tidak membuka pintu atau menghalau mereka.
"Ini kerana anggota saya akan memperkenalkan diri mereka dan berpakaian seragam polis," katanya.
Beliau menambah, pegawai polis yang ditugaskan dalam sektor tertentu akan diselia oleh ketua balai bagi membolehkan perundingan dijalankan jika sesuatu tindakan perlu dilakukan secara berpasukan.
Dalam pada itu, Tun Hisan berkata, kadar jenayah di negeri ini pada tahun lalu didapati telah menurun sebanyak 11.55 peratus iaitu pengurangan sebanyak 6,267 kes.
Katanya, pada tahun lalu, sebanyak 48,005 kes jenayah direkodkan berbanding 54,272 kes pada 2009.
"Meskipun dengan penurunan kes jenayah di kesemua 14 buah daerah di negeri ini, kami masih tidak berpuas hati kerana masyarakat masih lagi mempunyai perasaan takut terhadap jenayah.
"Sebab itulah, pada tahun ini kita mengadakan program mendekati masyarakat selain penggunaan kaedah 'payung' dalam membanteras jenayah yang terbukti berkesan,'' katanya.

No comments:

Post a Comment