Tuesday, January 4, 2011

Khalid bertindak balas




SHAH ALAM 3 Jan. – Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang baru semakin rumit apabila Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dilihat bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan Datuk Mohammed Khusrin Munawi melalui pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.
Ini berdasarkan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mencadangkan agar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar diadakan bagi meminda undang-undang itu dengan kononnya untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif termasuk SUK kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.
Dalam sidang akhbar tergempar hari ini, Abdul Khalid berkata, beliau akan menemui Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim dalam masa terdekat bagi memaklumkan mengenai cadangan itu agar ia dapat dilaksanakan.
Menurutnya, beliau juga telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini membincangkan isu pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK yang sebelum ini ditunda kerana baginda sedang bercuti.
‘‘Sultan Sharafuddin telah berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
‘‘Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis perlembagaan berlaku yang mana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan.
‘‘Sehubungan itu baginda telah mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik,” dakwa beliau pada sidang akhbar di bangunan SUK petang ini.
Terdahulu, Abdul Khalid yang menaiki kenderaan pelbagai guna peribadinya dilihat masuk ke pekarangan Istana Mestika di Seksyen 7 di sini pukul 10.50 pagi ini untuk menghadap Sultan Sharafuddin.
Beliau dilihat meninggalkan istana kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Abdul Khalid berkata, bagi menjunjung titah Sultan Sharafuddin, beliau akan menulis surat kepada SPA dan akan dihantar hari ini atau esok bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.
Bagaimanapun, pada sidang akhbar itu, Abdul Khalid mengakui bahawa pelantikan Mohammed Khusrin oleh SPA adalah sah di sisi undang-undang.
‘‘Sebelum penyelesaian muktamad dicapai dengan SPA, kerajaan negeri juga tidak mahu terlibat dengan sebarang majlis atau keraian dengan SUK.
‘‘Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan.
‘‘SUK juga tidak akan hadir dalam mesyuarat Exco atau pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebagai ex-officio tetapi boleh melakukan kerja-kerja SUK seperti menguruskan hal tanah dan sebagainya,” kata beliau.
Ditanya sama ada beliau akan menghadiri upacara angkat sumpah Mohammed Khusrin di Istana Kayangan pada Khamis ini, Abdul Khalid berkata, beliau akan berbincang mengenai perkara itu dengan barisan Exco sebelum membuat keputusan.
Isu pelantikan Mohammed Khusrin mula timbul apabila sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar pada 27 Disember lalu memaklumkan pelantikan Mohammed Khusrin belum muktamad kerana Abdul Khalid tidak pernah dimaklumkan mengenainya.
Kenyataaan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK berkuatkuasa 1 Januari lalu oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Menteri Besar kemudian dikatakan mahu menghadap Sultan Sharafuddin bagi membincangkan isu tersebut pada 29 Disember lalu tetapi terpaksa ditunda kerana baginda sedang bercuti.

No comments:

Post a Comment