Tuesday, January 11, 2011

Lupa tutup pintu pagar, penjenayah tertangkap

Utusan Malaysia Online - Kota


KUALA LUMPUR 10 Jan. - Seorang penjenayah tersilap langkah apabila membiarkan pagar sebuah rumah yang disamunnya di PUJ 6/14, Puncak Jalil dekat sini terbuka sehingga mendatangkan curiga kepada anggota polis yang kemudian berjaya menangkapnya.
Suspek berusia lingkungan 30-an telah memecah masuk ke dalam rumah teres dua tingkat, milik seorang pengusaha salon pada pukul 1 petang, Jumaat lalu dan sempat mengambil beberapa barang berharga setelah menggeledah kediaman tersebut.
Namun, semasa melakukan jenayah itu, suspek membiarkan pintu pagar rumah terbuka menyebabkan sepasukan anggota polis yang menaiki kereta peronda dan melalui tempat kejadian berasa curiga lalu berhenti untuk membuat pemeriksaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, suspek yang masih berada dalam rumah mungkin berasa terkejut dengan kehadiran polis lalu terburu-buru melarikan diri membawa bersama sebuah beg kertas berwarna hitam berisi barang-barang yang dicuri.
Beliau berkata, suspek yang terdesak melepaskan diri bertindak merempuh anggota polis yang baru memasuki rumah menyebabkan anggota terbabit mengalami kecederaan di kaki dan siku.
"Suspek bagaimanapun berjaya diberkas selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
"Polis yang memeriksa beg kertas yang dibawa menemui sebuah komputer riba dan tiga botol minyak wangi dipercayai dicuri dari rumah mangsa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dekat sini hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda yang digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah yang didaftarkan di atas nama isterinya.
Menurut Abd. Razak, suspek yang merupakan seorang penagih dadah kemudian membawa polis ke rumahnya di Presint 9, Putrajaya yang membawa kepada penemuan 21 keping pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit dan seutas gelang tangan emas tiruan.
Katanya, kesemua barang-barang dirampas bernilai kira-kira RM8,000 itu dipercayai dicuri dari beberapa rumah yang dipecah masuk oleh suspek sebelum ini termasuk satu kes dilaporkan berlaku di Putrajaya.
"Suspek yang pernah dipenjara kerana satu kes berkaitan dadah dan dua jenayah curi sebelum ini, didapati menumpang di rumah saudaranya yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Putrajaya.
"Modus operandi suspek ialah melakukan pecah rumah pada waktu pagi atau tengah hari. Dia akan membuat pemerhatian awal sebelum memasuki rumah mangsa dengan merosakkan pagar dan jeriji pintu hadapan rumah," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit masih direman untuk siasatan lanjut sehingga esok.
Abd. Razak turut berbangga dan mengucapkan syabas kepada anggotanya kerana keprihatinan mereka berjaya memberkas penjenayah sebelum mangsa membuat laporan.

No comments:

Post a Comment