Tuesday, January 11, 2011

Naik empat kali ganda

SH

SHAH ALAM - Krisis kenaikan harga bawang semakin parah apabila harganya melambung tinggi berikutan bencana alam di beberapa negara pengeksport iaitu India, China dan Thailand.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, setiap kawasan menjualnya dengan harga yang berbeza-beza kerana ia bukanlah kategorikan sebagai barang kawalan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Harga bawang merah dilaporkan naik sehinggakan empat kali ganda dan berbeza-beza mengikut kawasan dan ada antaranya mengalami kenaikan sehingga RM4 sekilogram.

Trend ini mengalami kenaikan dikesan sejak dua bulan lalu selepas peruncit memaklumkan kenaikan mendadak ini terpaksa dilakukan berikutan stok yang semakin berkurangan.

Di PERAK, pengguna dan peniaga semakin bimbang dengan kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian terutama bawang di pasar dan kedai runcit sekitar bandar raya ini.

Kenaikan harga bawang itu berlaku hampir di semua pasar dan kedai runcit di bandar raya Ipoh termasuk beberapa daerah lain.

Melalui pemantauan Sinar Harian, terdapat beberapa kedai di sini menjualnya sehingga RM8 sekilogram walaupun sebelum ini hanya RM2.50.

Di LANGKAWI, peniaga terpaksa menaikkan bawang merah sehingga RM8.90 sekilogram akibat krisis ini terutamanya tanah besar mengalami musibah banjir.

Di SEREMBAN, dilaporkan pengguna terus mengeluh kenaikan secara mendadak ini sejak minggu lalu kerana amatlah membebankan pengguna.

Salina Osman, 44, berkata, bawang besar juga mengalami peningkatan sama, sebelum ini harganya sekitar RM1.80 sekilogram sahaja tetapi naik berperingkat dalam tempoh sebulan sebelum meningkat mendadak pada minggu lalu iaitu RM4.50 sekilogram.

“Begitu juga dengan kenaikan harga bawang kecil, sebelum ini hanya RM6 sahaja berbanding harga di pasaran sekarang mencecah RM9,” katanya.

Di KUANTAN mendapati harga bawang merah dan bawang besar yang siap dibersihkan dijual pada kadar harga yang berpatutan iaitu RM6 sekilogram.

Bagaimana pun, peniaga yang ditemui, Ghani Nordin, 63, berkata, sejak kebelakangan ini, bekalan bawang yang diterima daripada pembekal banyak mengalami kerosakan kerana basah.

Menurutnya, dia terpaksa memilih bawang yang elok sebelum dijual kepada pengguna menyebabkan dia perlu mengeluarkan kos upah kepada pekerja untuk membersihkan bawang itu.

“Jika tidak dibersihkan, saya boleh jual bawang itu dengan harga RM4.50 sekilogram. Tapi, pengguna boleh memilih sendiri walaupun ada beberapa rungutan mengenai bawang yang tidak elok dan harga yang mahal.

“Saya sudah menjelaskan kepada pengguna situasi yang dihadapi peniaga setiap kali mereka merungut kerana ada yang membandingkan bawang yang dijual di pasar raya lebih murah, tetapi mereka tidak tahu bawang itu elok atau tidak,” katanya.

Berlainan pula di PULAU PINANG, tinjauan kami di beberapa kedai di pusat bandar mendapati kebanyakan peniaga mengehadkan stok bawang merah masing-masing.

Di pasar raya utama, bawang merah langsung tidak dijual dan yang ada hanya bawang besar serta bawang putih.

No comments:

Post a Comment