Saturday, February 26, 2011

131 dipindah keluar dari Libya



SEBAHAGIAN daripada 150 rakyat Libya menyertai perhimpunan mendesak Muammar Gaddafi meletak jawatan di hadapan kedutaan negara mereka di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 131 rakyat Malaysia yang terperangkap di Libya berjaya dipindahkan ke Tunis, Tunisia pada pukul 12 tengah hari semalam berikutan ancaman keselamatan yang semakin memuncak di negara bergolak itu.

Turut diterbangkan keluar dengan pesawat Tunis Air itu ialah Duta Malaysia ke Libya, Mohd. Zulkephli Mohd. Noor dan isteri.

Kesemua rakyat Malaysia itu dijadualkan menaiki pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Tunisia menuju ke Rom, Itali.

Selain rakyat Malaysia, penerbangan dari Libya itu turut memindahkan 55 rakyat Thailand, Filipina, Indonesia, United Kingdom dan Tunisia yang merupakan kakitangan syarikat Ranhill Berhad.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan semalam memberitahu, proses pemindahan rakyat Malaysia dari Libya itu mendapat kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia dan Ranhill Berhad.

"Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan semasa keselamatan di Libya dan akan terus memberi bantuan yang sewajarnya kepada beberapa rakyat Malaysia yang memilih untuk terus berada di negara itu," kata kenyataan itu.

Libya kini bergolak apabila rakyat mengadakan tunjuk perasaan mendesak Muammar Gaddafi meletak jawatan tetapi pemimpin veteran itu bertindak balas dengan menentang gerakan antikerajaan menggunakan kuasa tentera sehingga mengorbankan lebih 1,000 orang setakat ini.

Kosmo! Online - Negara

No comments:

Post a Comment