Parti Islam SeMalaysia (PAS) merasa sangat terkejut, kecewa dan teramat jengkel
dengan tuduhan ekstrem yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri
Najib Tun Razak terhadap gerakan Islam antarabangsa Ikhwanul Muslimin dan Sheikh
Dr Yusof al Qardhawi semasa menghadiri satu program di Istanbul beberapa hari
yang lalu.
Tuduhan yang dibuat terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) dan
tokoh-tokohnya seperti Sheikh Dr Yusof al Qardhawi itu adalah merupakan satu
fitnah besar yang dibuat oleh golongan yang buta sejarah perjuangan menentang
penjajahan dan bercakap mengikut selera hati golongan Barat yang memekakkan
telinga kepada kebenaran. Ikhwan ditubuhkan untuk melaksanakan Islah dan
tajdid berasaskan Al Quran dan Hadis, dengan memulakan perjuangannya secara
jalan damai dan tidak pernah menyerah kalah terhadap kezaliman musuh sehingga
ke hari ini. Ikhwan menyertai pilihanraya sejak awal lagi di Mesir, tetapi
apabila pengaruh mereka tersebar luas, pergerakan ini diharamkan dan
pemimpinnya dizalimi. Tuduhan bahawa Islam cenderung kepada keganasan adalah
fitnah dan orang tersebut mesti segera bertaubat jika dalam dirinya masih ada
iman sebesar zarah. Dalam masa yang sama, tindakan mengambil sikap dan
pandangan Setiausaha Negara Amerika sebagai neraca menentukan jenis
pemerintahan yang bersandarkan kepada Islam adalah tindakan orang yang tidak
mempunyai jati diri sebagai seorang Islam dan sangat memalukan orang Islam itu
sendiri.
Al Qardhawi juga adalah tokoh ulama berwibawa yang dilahirkan oleh Ikhwan. Dia
berjaya meredakan golongan pelampau di kalangan pemuda Islam yang tidak sabar
dengan kezaliman musuh sehinggalah mereka kembali ke pangkal jalan berjuang
mengikut ajaran Islam yang sebenar. Malah Malaysia sendiri pernah memberikan
Anugerah Maal Hijrah kepada beliau.
Dengan ini saya mencabar kerajaan Malaysia menarik balik anugerah maal hijrah
yang telah diberikan kepada Sheikh Dr Yusof al Qardhawi itu.
Sabtu, 3 Rabiul Awal 1432 H / 26 Februari 2011
No comments:
Post a Comment