Friday, February 25, 2011

5 pengawal keselamatan UPM cedera

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Lima pengawal keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) disahkan mengalami kecederaan termasuk seorang terpaksa menerima 16 jahitan di tangan semasa cuba menghalang sekumpulan pelajar promahasiswa memasuki pejabat pentadbiran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kelima-lima pengawal keselamatan itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan setelah cedera terkena cermin kaca yang pecah dirempuh kumpulan pelajar berkenaan.

Beliau berkata, dua daripada mereka mendapat luka di tangan kanan menyebabkan masing-masing terpaksa menerima 16 dan enam jahitan.

"Tiga lagi rakan mereka mengalami kecederaan ringan iaitu luka kecil di tangan dan kaki.

"Kelima-lima mangsa berusia antara 32 hingga 35 tahun bagaimanapun dibenarkan keluar dari hospital selepas mendapatkan rawatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Semalam, kekecohan berlaku di UPM apabila sekumpulan 200 pelajar promahasiswa bertindak mengadakan demonstrasi hampir 17 jam memprotes tindakan HEP membatalkan kemenangan 11 calon.

Kumpulan pelajar itu dianggotai gabungan pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Selangor (Unisel), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan UPM.

Mereka mula berkumpul seawal 10.30 malam kelmarin bertujuan meminta penjelasan Timbalan Naib Canselor HEP UPM mengenai pembatalan kemenangan calon terbabit.

Namun, keadaan menjadi tidak terkawal pada pukul 3 petang semalam, apabila pengawal keselamatan dan kakitangan HEP cuba menghalang mereka memasuki pejabat pentadbiran sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan mahasiswa tersebut.

Menurut Abd. Razak, setakat ini, dua laporan diterima mengenai kejadian tersebut iaitu dibuat oleh pihak pentadbiran UPM dan pengawal keselamatan.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian serta video yang diambil oleh polis dan pelajar, pihaknya sudah mengenal pasti lebih lima pelajar yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan itu.

"Kita sudah meneliti rakaman CCTV di tempat kejadian, rakaman video diambil polis dan pelajar yang dimuat turun dalam laman sosial Facebook untuk membantu siasatan.

"Lebih lima pelajar dikenal pasti terlibat mencetuskan kekecohan itu dan mereka akan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Abd. Razak turut meminta kedua-dua pihak terlibat dalam masalah ini agar mencari penyelesaian dengan cara berkhemah dan bijaksana bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pertemuan antara kumpulan pelajar promahasiswa dan Naib Canselor HEP UPM yang sepatutnya diadakan hari ini bagi membincangkan isu tersebut, telah ditunda kepada esok.

"Di sini, pihak polis ingin menasihatkan mereka yang terlibat supaya mengawal diri, tidak bertindak agresif dan mengambil tindakan di luar undang-undang.

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika mahasiswa terbabit melanggar undang-undang kerana menjadi tanggungjawab polis mengawal keselamatan termasuk dalam kawasan universiti," ujarnya.

Selain itu, beliau turut memberi amaran kepada pihak luar supaya jangan cuba mengambil kesempatan memanipulasikan isu tersebut.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments:

Post a Comment