Friday, February 25, 2011

Pemimpin dunia kutuk tindakan Gaddafi


SELAMAT PULANG: Seorang lelaki Turkey (dua dari kanan) disambut anggota keluarganya selepas pesawat yang dinaikinya mendarat di lapangan terbang Ataturk. Beliau merentasi Libya ke Mesir dengan berjalan kaki sebelum ke Iskandariah untuk berlepas ke Istanbul, Turkey, kelmarin. -- Foto AP

Obama anggap serangan ke atas pembantah sebagai dahsyat dan tidak boleh diterima


BENGHAZI (Libya): Para pemimpin dunia semalam mengutuk tindakan keras pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, terhadap para pembantah yang telah memecah-belahkan negara itu, tetapi tidak melakukan sesuatu untuk menghentikan pertumpahan darah tersebut.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, buat kali pertama memberikan ulasannya di khalayak awam sambil mengutuk serangan-serangan 'dahsyat' dan 'tidak boleh diterima' itu ke atas para pembantah yang mengorbankan ratusan jiwa dalam masa 10 hari dan mengakibatkan kenaikan harga minyak ke paras yang boleh mengancam pemulihan semula ekonomi sejagat.Bagaimanapun, kutukan dan respons sejagat terhadap Libya kelihatannya kurang menunjukkan perpaduan dan desakan, walaupun Washington dan Brussels telah mula berbincang tentang kemungkinan mengenakan sekatan terhadap pemimpin Libya yang memerintah negara itu sejak 41 tahun lalu dan sering mengingkari pihak Barat.'Adalah penting bagi negara-negara dan rakyat di seluruh dunia berbicara dengan satu suara,' kata Encik Obama.'Penderitaan dan pertumpahan darah itu dahsyat sekali,' ujarnya.Eksport minyak yang digunakan Encik Gaddafi untuk membantu menamatkan pengasingannya sejak sedekad lalu telah memberikan beliau wadah untuk menentang nasib yang dialami jiran terdekatnya, presiden Tunisia dan Mesir, yang digulingkan oleh rakyat masing-masing beberapa minggu lalu.Sehingga 1,000 orang mungkin terbunuh di Libya, menurut Menteri Luar Italy, Encik Franco Frattini.Beberapa laporan yang belum dapat disahkan berkata pihak tentera Libya dan askar-askar upahan Afrika telah menembak ke arah para pembantah di negara yang menghasilkan hampir 2 peratus bekalan minyak dunia itu.Seperti di beberapa bahagian dunia Arab, para pembantah Libya yang mengadakan bantahan antipemerintah kelihatan terdorong oleh kekecewaan mereka terhadap penindasan politik dan masalah ekonomi di negara itu dan sebahagian besarnya berfahaman sekular.Sementara itu, kumpulan Al-Qaeda cabang Afrika Utara semalam memberi isyarat menyokong para pembantah di Libya sambil menggesa mereka agar 'meneruskan perjuangan dan revolusi dan menggiatkannya bagi menggulingkan penjenayah zalim itu', menurut Kumpulan Risikan Site.Tindakan kumpulan Al-Qaeda itu telah menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak tentang kemungkinan fahaman pelampau menyerap di kalangan pembantah.Sementara itu, para pembantah antipemerintah Libya telah menguasai bandar Zuara, kira-kira 120 kilometer ke barat Tripoli, kata beberapa pekerja Mesir yang bekerja di situ dan yang sedang dalam perjalanan ke Tunisia, kepada agensi berita Reuters, semalam.Tentera yang taat kepada Encik Gaddafi kehilangan kuasa di wilayah Cyrenaica di sebelah timur negara itu minggu lalu. -- Reuters.

No comments:

Post a Comment