Sunday, February 20, 2011

KAUM MUDA ARAB KIAN RESAH


Kesempitan hidup akibat pemerintahan bercorak kuku besi, ketidakadilan, rasuah, kronisme, nepotisme, pengangguran yang menjadi-jadi dan penindasan golongan elit terhadap rakyat biasa akhirnya mencetuskan kebangkitan beramai-ramai golongan belia Timur Tengah untuk menegakkan demokrasi dan mencerahkan masa depan mereka

MEREKA tinggal bersama ibu bapa mereka, menghabiskan masa di kafe, berhubungan dengan kawan-kawan menerusi Facebook, belajar dan mendengar muzik rap.Namun di hati mereka, terpendam rasa kecewa dan semangat ingin memberontak.Mereka kecewa kerana sukar sekali mendapat kerja yang baik dan sesuai dengan kelayakan. Tanpa pekerjaan, bagaimana mereka dapat membina keluarga dan menjalani kehidupan yang baik?Sekian lama mereka memendam rasa, hingga akhirnya tercetus pemberontakan yang kini menggemparkan seluruh Dunia Arab.Itulah golongan muda, mereka yang berumur 30 tahun ke bawah dan kini membentuk lebih separuh daripada 350 juta dalam dunia Arab yang terbentang dari Mesir dan Tunisia di benua Afrika hingga ke rantau Teluk termasuk Arab Saudi, Yaman, Bahrain, membawa ke Syria dan Iran.Sebahagian besar daripada mereka ini mempunyai harapan yang tipis sekali untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.Kadar pengangguran di kalangan belia Arab berada pada paras 80 peratus, menurut laporan akhbar The Guardian. Hanya segelintir sahaja mampu untuk ke luar negara. Untuk berhijrah ke luar negara bagaikan satu impian sahaja bagi mereka.Ke mana mereka hendak pergi? Hidup mereka bagaikan tersekat dan inilah yang mencetuskan jiwa memberontak di kalangan mereka.Dalam sebuah kelas bahasa Inggeris di Damsyik, ibu kota Syria, baru-baru ini, Salma, 23 tahun, dan kawan- kawan sedarjahnya membincangkan tentang peluang pekerjaan.'Susah untuk kami maju di sini - tiada peluang pekerjaan untuk kami.'Saya mahu tinggalkan negara ini, saya mahu berhijrah ke Canada,' kata beliau.Di Mesir, yang baru sahaja menyaksikan penggulingan Presiden Hosni Mubarak, Shady Alaa El Din juga berasa ijazah universiti yang dimilikinya tidak mempunyai nilai apa-apa pun.'Kami tidak dapat apa-apa dari sistem pendidikan kami - masuk universiti hanya bererti kami membazirkan masa empat tahun belajar.'Kami belajar secara berulang-ulang; tiada ruang untuk kreativiti, tiada ruang untuk berfikir secara berdikari,' katanya sambil menghelang nafas panjang.Asmaa Mahfouz hanyalah seorang wanita. Dalam masyarakat Arab, seringkali tempat wanita hanyalah di rumah.Namun, beliau kini turut berada di barisan hadapan dalam perjuangan menuntut kebebasan di negaranya.Berusia 26 tahun, wanita Mesir itu merupakan pengasas kumpulan Belia 6 April yang dimulakan pada 2008 menerusi kumpulan rangkaian sosial, Facebook, dalam usaha mengumpul sokongan para pekerja di sebuah bandar perindustrian Kahirah untuk memulakan bantahan pada April 6 tahun itu.Cik Asmaa merupakan seorang lulusan daripada sekolah pengurusan perniagaan di Universiti Kahirah pada tahun tersebut.Selepas menamatkan pengajiannya, Cik Asmaa muncul sebagai seorang aktivis dalam rangkaian media sosial di seluruh Mesir.Pada 2008, Cik Asmaa dan para aktivis lain berhubungan dengan Gerakan April 6 dan telah menggunakan Internet untuk meraih sokongan bagi satu bantahan umum.Laman The Canadian Charger melaporkan akibat daripada kejadian itu, Cik Asmaa berserta keluarganya telah diganggu oleh pasukan keselamatan Mesir.Pada masa yang sama, tugasnya selaku seorang akauntan di sebuah firma eksport dan imort Al Shaimaa telah digantung, menyusuli penglibatannya dalam kegiatan politik yang menimbulkan bantahan.Pada 31 Januari, Cik Asmaa memberitahu sebuah stesen televisyen Mesir mengenai keputusannya untuk menggunakan Facebook bagi tindakannya ke atas Mesir sebelum khidmat Internet dimatikan pemerintah negara itu.Dalam video Youtubenya, Cik Asmaa menggesa keadilan di negara itu.PENGHINAANBeliau menyatakan bahawa empat warga Mesir telah menyalakan api ke atas diri mereka sendiri sebagai membantah penghinaan, kebuluran dan kemiskinan dengan harapan untuk memulakan satu revolusi seperti di Tunisia.Beliau berkata:'Mereka (keempat-empat warga Mesir) tidak gentar dengan kematian, tetapi kita takut dengan pasukan keselamatan.'Bolehkah anda bayangkannya? Adakah anda seperti itu juga?'Saya tak akan menyalakan api atas diri saya sendiri.'Sekiranya pasukan keselamatan ingin menyalakan api atas saya, silakan.'Sekiranya anda fikir anda seorang lelaki, mari bersama-sama saya pada 25 Januari ini....' katanya lagi.Kini, dari Benghazi di Libya, ke Manama di Bahrain hinggalah ke Tehran di Iran, tunjuk perasaan kian mencerut dunia Arab, meneruskan arus keghairahan revolusi yang telah pun menundukkan pemerintah di Tunisia dan Mesir.Bahang revolusi itu diapi-apikan generasi baru penduduk Timur Tengah, yang seolah-olah bangkit bersatu, menuntut pekerjaan yang lebih baik, kebebasan dan secara umumnya, menekankan kepada pemerintah bahawa ia mungkin mentadbir negara tetapi tidak memerintah kehidupan mereka.Semangat generasi muda Arab itu merintis jalan bagi berakhirnya 'kontrak' sosial antara negara dengan rakyat serta tanggapan bahawa pemerintah berkuasa atas segalanya dan tahu apa yang terbaik.Walaupun golongan muda Arab dikatakan berpengaruh dalam menggerak bantahan yang sedang berlaku sekarang, hakikatnya tiada seseorang individu, mahupun sekumpulan aktivis muda, yang boleh dipertanggungjawabkan.Sebaliknya, dunia kini mungkin sedang menyaksikan satu revolusi moden lagi bersejarah, yang bakal merintis jalan bagi sebuah era baru di dunia Arab.Hari ini, rakyat yang rasa diri mereka tertindas tidak lagi perlu manusia untuk berdiri di depan khayalak ramai, mengapikan semangat mereka dengan retorik.Ini kerana di rumah, mereka ada Facebook dan Twitter. Lantaran itulah, sesetengah pemerhati menyifatkan revolusi ini sebagai sebuah revolusi jalur lebar (broadband).Cyberita Online Ekstra!

No comments:

Post a Comment