Skop perarakan itu, yang turut menjadi acara bagi memperingati 365 orang yang terkorban dalam pemberontakan selama 18 hari itu, yang menggegarkan seluruh rantau Asia Barat, akan menjadi ukuran kuasa rakyat Mesir dan sentimen mereka mengenai peralihan kuasa kepada pemerintahan awam.
Tindak-tanduk tentera dalam menangani perarakan itu akan menjadi tumpuan ramai, kerana Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir menghadapi tekanan supaya membebaskan tahanan politik dan menarik balik perintah darurat selepas membubarkan Parlimen dan menggantung Perlembagaan.
"Kami mencapai persetujuan dengan tentera untuk mengadakan persiapan bagi sambutan hari ini," kata Ahmed Naguib, anggota jawatankuasa penyelarasan bagi gabungan pertubuhan belia dan prodemokrasi.
"Syeikh Qaradawi akan mengimamkan solat Jumaat dan menyampaikan khutbah di Dataran Tahrir," kata Naguib, yang merujuk kepada ulama Qatar yang menyokong pemberontakan rakyat Mesir dan menyifatkannya sebagai 'hari daripada Tuhan'.
Suasana di Dataran Tahrir kelihatan santai dan penuh kemeriahan sementara tentera menutup kawasan itu kepada lalu lintas sebelum solat Jumaat pada 12 tengah hari (6 petang waktu Malaysia).
Askar dan penganjur memeriksa orang ramai yang masuk ke dataran itu, dan sebuah pancaragam tentera memainkan lagu kebangsaan.
Kehidupan di Mesir masih belum pulih, seminggu selepas pemberontakan rakyat yang tertumpu di dataran tersebut, kerana kereta kebal masih ditempatkan di jalan-jalan raya, bank dan sekolah masih ditutup manakala pekerja melancarkan mogok.
Pegawai keselamatan berkata, Perdana Menteri Ahmed Shafiq akan mengumumkan barisan menteri dalam kerajaan peralihan pada minggu depan dan berharap rombakan itu akan membantu menenteramkan penunjuk perasaan dan pekerja yang mogok.
"Shafiq akan mengumumkan kerajaan baru selewat-lewatnya Isnin ini, dan langkah itu diharap akan menyakinkan rakyat supaya kembali menjalani kehidupan harian mereka," kata pegawai itu. - Reuters
No comments:
Post a Comment