Saturday, February 19, 2011

Protes terus merebak di Asia Barat



pancaragam tentera membuat persembahan menuju ke Dataran Tahrir di tengah Kaherah untuk memberi sokongan kepada rakyat Mesir yang mengadakan ‘Perarakan Kemenangan’ meraikan kejayaan mereka menumbangkan Presiden Hosni Mubarak dalam tunjuk perasaan besar-besaran pada minggu lalu. – Agensi


MANAMA 18 Feb. – Protes antikerajaan terus merebak di Asia Barat dan Afrika utara bagi menuntut pembaharuan politik, hari ini dengan beribu-ribu penunjuk perasaan meneruskan bantahan selepas sembahyang Jumaat bagi mendesak pemimpin di beberapa negara di rantau terbabit meletak jawatan.
Di BAHRAIN, beribu-ribu rakyat berhimpun di Manama hari ini menuntut kerajaan monarki di negara ini ditumbangkan ketika pengebumian salah seorang penunjuk perasaan yang terbunuh semalam, sehari selepas berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dengan tentera sehingga memaksa pihak berkuasa Bahrain mengerahkan kereta kebal ditempatkan di jalan-jalan utama di negara ini.
Penunjuk perasaan mendesak Raja Hamad bin Isa Al Khalifa serta orang di sekelilingnya meletakkan jawatan dan seruan menumbangkan sistem monarki yang dipimpin golongan Sunah yang memegang jawatan utama kerajaan di Bahrain serta diskriminasi terhadap puak Syiah yang merupakan majoriti penduduk di negara kecil di Asia Barat ini.
“Kami sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan. Tuntutan kami sangat mudah, kami mahu keseluruhan kerajaan meletak jawatan,” kata pekerja kerajaan, Mohamed Ali, 40.
Di LIBYA, tentera ditempatkan di jalan-jalan raya di bandar Benghazi, bandar kedua terbesar di negara itu hari ini, selepas beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah tindakan pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 24 penunjuk perasaan semasa berlaku pertempuran dengan penunjuk perasaan.
Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan menerusi sumber dalamannya berkata, pasukan keselamatan negara itu telah membunuh sekurang-kurangnya 24 orang dalam satu tindakan keras ke atas penunjuk perasaan sejak kelmarin.
Sementara itu, menurut sebuah sumber hospital, seramai 14 orang lagi maut hari ini dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan antikerajaan di Benghazi, yang mengadakan tunjuk perasaan yang masuk hari ketujuh hari ini.
Sementara itu, pemimpin Libya, Muammar Ghadafi membuat rondaan berkereta di sekitar ibu negara Tripoli bagi mendapatkan sokongan rakyat.
Di YEMEN, dua orang maut, manakala kira-kira 26 orang cedera parah hari ini apabila sebuah bom tangan di lontar ke arah kumpulan penunjuk perasaan antirejim di tengah bandar raya Taez, di utara ibu negara Sanaa.
Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan antirejim di bandar Aden semalam, mengorbankan tiga orang ketika lebih banyak protes dijangka berlaku di ibu negara Sanaa selepas solat Jumaat hari ini.
Seorang pegawai di Hospital Jumhuriah, Aden berkata, tiga mayat telah dihantar ke bilik mayat dan 19 orang lagi cedera dengan dua daripada mereka parah dan sedang menjalani pembedahan.
Polis dilaporkan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun di kawasan kediaman Al-Mansura, Aden bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah Yemen selama 32 tahun.
Penunjuk perasaan melaungkan ‘Ali Berambus’ dan bertindak merosakkan kedai, membakar tayar dan meletakkan penghadang di jalan-jalan bagi menyekat lalu lintas, menurut koresponden AFP.
Di ALGIERS, seorang bekas pemimpin kanan rejim, Abdelhamid Mehri semalam mendesak perubahan politik segera dilaksanakan di Algeria menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden Abdelaziz Bouteflika.
Mehri dalam suratnya menuduh rejim negara itu ‘tidak mampu menyelesaikan masalah negara yang semakin kusut dan kompleks dan tidak bersedia berhadapan cabaran masa depan yang lebih sukar dan serius’.
Di IRAN, keadaan berbeza berlaku apabila penunjuk perasaan pro-rejim berhimpun di jalan-jalan di kota Teheran selepas solat Jumaat hari ini bagi mengecam ‘pengkhianat’ yang ditujukan kepada ketua pembangkang, Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi yang menentang pemerintahan ulama Iran.
Mereka berarak keluar dari Universiti Teheran selepas solat Jumaat dan menyertai kumpulan pro-rejim lain untuk mengutuk Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi. – Agensi

No comments:

Post a Comment