Saturday, February 5, 2011

Penduduk Mesir teruskan tunjuk perasaan



05/02/2011 2:31am

KAHERAH 5 Feb. - Tunjuk perasaan bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur masuk hari ke-10 hari ini dan merebak ke bandar-bandar besar lain dengan beribu-ribu penduduk berhimpun selepas sembahyang Jumaat, semalam.
Di Kaherah kira-kira 100,000 penunjuk perasaan antikerajaan yang datang dari beberapa daerah berarak menuju Dataran Tahrir selepas solat Jumaat melalui beberapa jalan raya utama menyebarangi jambatan Kasr el-Nil yang merentangi Sungai Nil sepanjang satu kilometer menuju ke dataran itu.
Sebuah pondok kawalan tentera hanya membenarkan kira-kira tiga penunjuk perasaan melalui jambatan itu pada setiap saat.
Sementara itu di Iskandariah, beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul dan melaungkan ‘Penduduk mahu mengubah sistem pemerintahan itu’ dan ‘Kami tidak mahu berundur, beliau (Mubarak) akan berundur’.
Di Suez pula, beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di bandar raya pelabuhan itu selepas solat Jumaat.
Manakala di bandar raya Ismailia, beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di beberapa jalan utama di mana sebelum perhimpunan yang dikawal ketat tentera itu berlangsuang, kira-kira 100 penunjuk perasaan pro-Mubarak berhimpun di situ dan kemudiannya bersurai.
Di bandar raya Port Said, beribu-ribu penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di jalanan, sementara beratus-ratus penunjuk perasaan pro-Mubarak cuba menyusup masuk ke dalam kumpulan itu tetapi dihalang oleh tentera dan kemudiannya kedua-dua kumpulan penunjuk perasaan itu berpecah.
Bandar raya Mansoura pula memperlihatkan beribu-ribu penunjuk perasaan mendesak pengunduran Mubarak dan pentadbirannya, kata seorang anggota pergerakan pembangkang 6 April.
Selain itu kira-kira 5,000 penunjuk perasaan berhimpun di bandar raya Damanhour yang di terletak di Lembah Nil.
Tidak ketinggalan, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan antikerajaan dan 1,000 penyokong Mubarak berhimpun di beberapa jalan di bandar raya Qalyubiya.
Manakala di bandar raya El Arish di Semenanjung Sinai, beribu-ribu penunjuk perasaan anti-kerajaan berhimpun, tetapi tiada tanda-tanda menunjukkan kumpulan pro-Mubarak turut sama berhimpun.
Di bandar raya Aswan pula, kira-kira 2,000 penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan perhimpunan, sementara beberapa ratus penunjuk perasaan pro-Mubarak cuba menyelinap ke dalam kumpulan antikerajaan, tetapi dihalang oleh sekatan yang dibina oleh penunjuk perasaan antikerajaan. - REUTERS

No comments:

Post a Comment