Saturday, February 5, 2011

Pelajar diacu pistol di kepala





SEPANG 4 Feb. - Saat pistol diacukan ke kepala menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan bagi seorang pelajar tahun pertama jurusan pergigian Universiti Al-Azhar ketika terperangkap dalam demonstrasi besar-besaran rakyat Mesir yang mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur.
Siti Nabilah Mohd. Azaman, 20, berkata, pengalaman diacukan pistol di kepala ketika berada di Mesir bakal menjadi sejarah yang tidak akan dilupakannya seumur hidup.
"Kejadian menakutkan itu berlaku ketika beliau dan empat rakan keluar ke kedai berhampiran untuk membeli bekalan makanan serta menambah nilai prabayar telefon bimbitnya bagi menghubungi keluarga di tanah air.
"Ketika sedang berjalan menuju ke kedai, saya dan rakan-rakan terkejut apabila seorang warga Mesir yang tidak dikenali mengacukan pistol ke bahagian kepala kami. Mereka mengganggap kami adalah penyokong Kerajaan Mesir. Selepas menerangkan siapa kami yang sebenarnya, kami dibenarkan pulang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Menurut Siti Nabilah, ekoran peristiwa tersebut dia dan rakan sentiasa berjaga-jaga dan tidak tidur pada waktu malam.
"Kami sentiasa berada dalam ketakutan, malah lebih manakutkan apabila ada khabar angin yang mengatakan ramai banduan terlepas dari penjara berdekatan dan memecah masuk rumah yang terletak berhampiran dengan rumah kami," katanya.
Sementara itu, pelajar jurusan perubatan Universiti Iskandariah, Mohd Faiz Abbas, 22, berkata, beliau pada mulanya menyangka rusuhan di negara itu tidak serius pada hari pertama rusuhan meletus.
Katanya, dia dan rakan-rakan hanya menyedari keadaan adalah buruk apabila keluar dari rumah pada hari kedua rusuhan dan melihat beberapa trak polis dan balai polis terbakar dan terdapat kereta perisai di sana.
"Alhamdulillah, pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak membantu dalam menjaga keselamatan kami semasa demonstrasi berlaku," katanya yang menuntut dengan pembiayaan Mara di sana.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Farid Hashim, 23, berkata, rumah sewa yang didudukinya bersama tiga rakan lain pernah cuba dipecah masuk oleh dua perusuh yang mahu menyelamatkan diri daripada ditangkap oleh polis yang berkawal di sekitar kawasan kediamannya.
"Kami sempat menyergah dan menakut-nakutkan dua perusuh yang cuba menceroboh rumah kami dan mereka terus melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran mereka," katanya.
Menurutnya yang juga pelajar tahun empat dari Universiti Iskandariah, terdapat kereta perisai berhenti di depan rumah mereka bagi menghalang perusuh dan mengawal lalu lintas di situ.
"Memikirkan keadaan di sekitar rumah yang tidak selamat, kami bercadang pulang ke Malaysia dan menempah tiket kapal terbang secara online dan menaikinya di Bahrain.
"Kami bersyukur sepanjang perjalanan ke Bahrain, kami tidak mempunyai masalah cuma perlu menempuhi sekatan jalan raya yang ketat dan 'berkampung' di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain selama sehari sebelum berlepas ke tanah air," katanya.
Difahamkan sekurang-kurangnya 50 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pelajar tiba di KLIA hari ini atas perbelanjaan sendiri melalui pelbagai penerbangan termasuk EgyptAir, Etihad Airways, Gulf Air dan Saudi Arabian Airlines.

No comments:

Post a Comment