Thursday, March 31, 2011

Masalah bertimpa di loji nuklear Fukushima


Radiasi meresap ke tanah dan air laut, presiden firma pengendali loji alami darah tinggi


TOKYO: Usaha mengatasi krisis loji nuklear yang rosak akibat tsunami di Jepun masih banyak halangan.
Ujian ke atas air laut di luar loji itu menunjukkan paras radiasi yang bertambah. Presiden firma pengendali loji itu pula dirawat di hospital kerana tekanan darah tinggi.Hampir tiga minggu selepas tsunami melanda loji Fukushima Dai-ichi itu hingga memutuskan bekalan tenaga ke sistem penyejukannya, Tokyo Electric Power Co (Tepco) masih bertungkus lumus mengawal loji di timur laut Jepun itu.Radiasi daripada loji itu telah meresap ke dalam tanah dan air laut dan ditemui dalam hasil pertanian, susu mentah, malahan air paip sejauh Tokyo, 220 kilometer ke selatan loji itu.Tekanan yang dihadapi itu telah menyebabkan Presiden Tepco, Encik Masataka Shimizu, terlantar di hospital sejak kelmarin.Encik Shimizu, 66 tahun, tidak kelihatan di khalayak ramai sejak sidang akhbar 13 Mac lalu di Tokyo, hingga menimbulkan khabar angin bahawa beliau mengalami gangguan jiwa.Seorang jurucakap, Encik Naoki Tsunoda, semalam berkata, Encik Shimizu dimasukkan ke sebuah hospital Tokyo kerana mengalami pening kepala dan tekanan darah tinggi.Kekosongan dalam kepimpinan itu berikutan kritikan meningkat terhadap Tepco kerana kegagalannya menghentikan kebocoran radiasi itu.Tepco membuat pengakuan secara umum buat kali pertama bahawa sekurang-kurangnya empat daripada enam reaktor di loji itu akan dihentikan penggunaannya sebaik sahaja krisis itu reda, merujuk kepada air laut yang digunakan bagi menyejukkan reaktor itu dan kolam simpanan api yang telah digunakan, yang mungkin menyebabkan hakisan.Sejak 20 Mac lalu, kerajaan Jepun telah berkata seluruh loji itu mesti dihentikan penggunaannya.Semalam, pegawai keselamatan nuklear berkata air laut hingga sekitar 274 meter dari loji itu mengandungi paras iodin beradioaktif 3,355 kali had dibenarkan undang-undang.Paras ini yang tinggi sejauh ini dan satu tanda bahawa air tercemar sedang melimpah ke dalam lautan.Paras iodin-131 yang ditemui di selatan loji itu tidak mendatangkan bahaya serta merta kepada kesihatan manusia tapi masih menjadi satu 'keprihatinan', kata pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri, Encik Hidehiko Nishiyama.Bahan plutonium yang amat beracun juga telah dikesan dalam tanah di luar loji itu, kata Tepco.Minggu lalu, kakitangan loji itu berjaya menyambung semula beberapa bahagian loji itu ke grid kuasa.Namun apabila mereka mengepam air untuk menyejukkan reaktor dan bahan api nuklear itu, mereka menemui air beradioaktif terkumpul di besmen beberapa bangunan serta parit-parit di luar loji itu.Tepco merancang menyembur resin di tanah sekeliling loji itu bagi menghalang debu radioaktif daripada tersebar atau masuk ke laut.Syarikat itu akan menguji kaedah itu hari ini di satu bahagian loji itu dahulu, kata Encik Nishiyama.Pemerintah juga menimbangkan untuk menutup beberapa reaktor itu dengan kain, kata Tepco. Ini diharap membolehkan pekerja berada lebih lama di kawasan lain loji itu.Angka kematian rasmi bagi bencana berganda di Jepun itu mencapai 11,257 semalam. Angka akhirnya mungkin melebihi 18,000. -- AP.

No comments:

Post a Comment