Thursday, March 31, 2011

Sedih terpaksa bergantung pada isteri



PALOH HAJI DAUD – Roslan Ghazali, 49, tidak pernah terfikir suatu hari nanti dia akan lumpuh dan tidak dapat lagi bergerak seperti insan normal lain.

Suatu ketika dahulu, dia insan ceria dan suka beriadah bersama empat anak lelakinya di halaman rumah. Hinggalah tiga bulan lalu, dia tiba-tiba tidak dapat bergerak setelah terjatuh ketika dia bermain di halaman rumah bersama anak ketiganya, Abzal Azeem, 17.

Apabila dirujuk ke hospital, doktor memberitahu bahawa dia menderita sakit saraf dan kakinya lumpuh.

Walaupun terkejut besar dengan hasil pemeriksaan doktor itu namun dia pasrah dengan tragedi menimpanya.

“Saya amat kasihan dengan isteri kerana terpaksa menjaga saya kerana saya pernah menjaga ibu saya yang lumpuh 10 tahun lalu,” katanya.

Lebih menyedihkan kata Roslan, isterinya, Adina Khalil, 45, juga terpaksa mengambil alih tugasnya mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan keluarga.

Bagaimanapun, kehidupan Razali kembali ceria apabila dia menerima sumbangan kerusi roda daripada Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Wan Mahyudin Wan Ngah yang bertandang ke rumahnya.

Sementara itu, Adina berkata, dia kini menyara keluarga dengan menjual kuih-muih yang diletakkan di kedai kopi untuk menampung perbelanjaan dua lagi anaknya yang masih bersekolah di sekolah menengah.

“Abzal Azeem masih di Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam manakala adiknya, Azam Hazreq di Tingkatan Tiga di SMK Sultan Ahmad.

“Pendapatan yang saya peroleh tidak menentu dan sering kesempitan wang kerana bergantung kepada hasil jualan semata-mata, manakala bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan habis digunakan untuk membeli keperluan suami,” katanya.

No comments:

Post a Comment