KEADAAN TEGANG: Para penunjuk perasaan membakar kenderaan semasa bantahan di Sohar kelmarin. -- Foto AFP |
MUSCAT: Polis kelmarin menembak mati seorang penunjuk perasaan yang keluar bagi menyatakan bantahan terhadap pemerintahan Sultan Oman, menjadikan negara Arab itu yang terbaru tercetuskan keganasan.
Polis sebelum itu melepaskan tembakan peluru getah ke arah 2,000 penunjuk perasaan yang cuba menyerbu ke sebuah balai polis.Lagi 20 orang dilaporkan cedera, kata Menteri Kesihatan Oman, Encik Ahmed bin Mohammed al-Said, semalam.Tunjuk perasaan tercetus di Sohar, kira-kira 200 kilometer dari barat daya Muscat, yang mendesak Sultan Qaboos bin Said, memulihkan ekonomi dan meningkatkan faedah pekerja di negara itu serta mengatasi pengangguran.Agensi berita ONA berkata, keganasan berlaku sejak subuh Sabtu lalu dan berlarutan kelmarin dengan beberapa kenderaan persendirian dan kerajaan dibakar penunjuk perasaan.Penunjuk perasaan juga membakar kediaman Gabenor Sohar dan sebuah balai polis.Mereka sebahagian besarnya terdiri daripada golongan yang menganggur.Menyusuli pertempuran itu, Sultan Qaboos, yang memerintah Oman sejak 40 tahun lalu, mengarahkan agar 50,000 pekerjaan baru diwujudkan.Beliau juga mengarahkan agar habuan bernilai AS$386 ($492) sebulan diberi kepada setiap pekerja yang menganggur.Sultan Qaboos juga cuba meredakan ketegangan dengan merombak Kabinet melibatkan penukaran enam menteri.Bantahan masih dilaporkan di Sohar semalam dengan penunjuk perasaan dilaporkan membakar sebuah pasar raya.Sementara itu di Tunisia, Perdana Menteri Mohamed Ghannouchi meletak jawatan kelmarin ketika keganasan tercetus di negara Afrika Utara itu.Encik Ghannouchi mengumumkan peletakkan jawatannya di rangkaian televisyen dan radio tempatan sehari selepas empat penunjuk perasaan mati dalam satu pertempuran dengan polis.Encik Ghannouchi, 69 tahun, dikritik hebat kerana kelemahan pimpinannya ketika pemerintahannya bersama Presiden Zine El Abidine Ben Ali, yang tersingkir akibat kebangkitan rakyat.Dalam pada itu, Presiden Perancis, Encik Nicolas Sarkozy, mengisytiharkan sokongan negara itu ke atas penduduk negara Arab yang memberontak menentang 'pemerintah diktator'.Beliau berikrar Paris akan melakukan yang mampu untuk membantu. -- AP, AFP, Reuters.Cyberita Online Luar Negara
No comments:
Post a Comment