Oleh Haika Khazi
2011/03/01
Jurutera Malaysia trauma lihat polis Libya belasah penunjuk perasaanSEPANG: “Saya tidak dapat melupakan peristiwa ngeri melihat penunjuk perasaan dan warga asing dipukul polis dan tentera Libya sehingga ada yang cedera parah di kepala dan pengsan ketika beratur memasuki terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli," kata jurutera sebuah syarikat pembinaan Malaysia yang berpangkalan di Libya, Shahrizal Zulkifli, 33.
Beliau yang menceritakan detik cemas itu berkata kejadian itu pada Jumaat lalu ketika beliau bersama 130 rakyat Malaysia serta rakyat negara lain beratur untuk memasuki terminal kerana mahu keluar dari negara bergolak itu berikutan rusuhan semakin memuncak.“Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli menjadi seperti zon perang apabila polis dan tentera Libya mula memukul penunjuk perasaan dan warga asing yang tidak mempunyai tiket penerbangan tetapi mahu meninggalkan negara berkenaan sehingga ada di kalangan mereka berdarah di kepala, pengsan dan terpaksa dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dengan pesawat sewa khas Penerbangan Malaysia (MAS) MH0015, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, jam 6.22 pagi semalam.
Shahrizal berkata, walaupun beliau bekerja di kawasan jauh dari lokasi rusuhan dan bandar, dia dapat dengar dengan jelas bunyi tembakan senapang dan letupan ketika rusuhan memuncak di ibu negara Libya.
Kakitangan Ranhill Berhad, P Maveen, 36, berkata walaupun menetap di luar ibu kota Libya, beliau dapat lihat banyak bangunan runtuh dan kelongsong peluru bertaburan di atas jalan ketika mereka mahu meninggalkan Tripoli Jumaat lalu.
“Saya nampak bangunan ditembak bertalu-talu dan kelongsong peluru bertaburan serta penunjuk perasaan dipukul ketika keluar ke bandar. Ia adalah satu pengalaman yang menakutkan kerana sebelum ini saya hanya mengetahui keadaan rusuhan melalui radio atau televisyen.
“Saya berada di Libya hampir empat tahun kerana bekerja dan berharap keamanan dapat dicapai kerana Libya adalah negara sangat baik untuk bekerja dan melancong. Sebaik saja pesawat tiba di KLIA, hati saya kian tenteram kerana tiada lagi bunyi tembakan,” katanya.
Penuntut Universiti Dakwah Islamiah Libya, Julisah Jamahat, 26, dari Sabah, berkata pihak universiti juga menasihati pelajar supaya memastikan bekalan makanan mencukupi kerana bimbang peniaga menaikkan harga ketika rusuhan berlaku.
“Saya tidak sempat membeli bekalan makanan di kolej kerana penuntut lain sudah berebut-rebut membeli barang keperluan,” katanya.
No comments:
Post a Comment