Wednesday, April 20, 2011

Derita pasangan warga emas



KUANTAN -“Beginilah kehidupan kami suami isteri, masing-masing tanggung derita sakit dan setiap hari saya berdoa kepada Allah SWT supaya sembuhkan penyakit kami,” kata Chik Muda, 74, isteri kepada Omar Abdullah @ Ibrahim, 75.

Pasangan suami isteri ini hilang tempat bergantung apabila Omar cedera parah akibat terbabit dalam kemalangan.

Omar terbabit dalam kemalangan di Jalan Beserah pada Mac lalu ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar bekalan ubat tradisional yang ditempah pelanggan.

Lebih malang, isterinya, Chik turut mengidap penyakit misteri apabila kedua-dua tangan serta kepala asyik bergetar sendiri sehingga sukar melakukan kerja rumah serta mengidap kencing manis.

Menurut Chik, dia mengidap penyakit misteri itu sejak beberapa tahun lalu sebelum diserang kencing manis menyebabkan dia tidak dapat bekerja.

“Kami tidak mempunyai anak dan kehidupan bertambah perit apabila suami terlantar di katil dan tidak mampu mencari sesuap nasi.

“Hidup kami bergantung pada belas kasihan penduduk kampung yang sudi menghulurkan pertolongan kerana kami tidak pernah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya tidak pernah ke sekolah jadi tidak mengetahui bagaimana cara mahu memohon bantuan,” katanya di sini, semalam yang turut menerima lawatan dari Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas).

Seterusnya, buat masa kini, dia bergantung pada belas kasihan penduduk kampung untuk menghantar suaminya setiap kali menjalankan rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Sementara itu, Pengerusi Batas, Shamsuddin Ali, berkata walaupun sumbangan yang dihulurkan itu tidak seberapa namun ia dapat meringankan beban dan penderitaan mereka.

Shamsuddin berkata, beliau akan berusaha membantu mereka dengan menghulurkan sumbangan yang di kumpul melalui ahli Batas termasuk membeli barang keperluan dapur.

No comments:

Post a Comment