KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya terpaksa meneruskan kehidupan mereka berbekalkan sumber pendapatan kira-kira RM300 sebulan yang diberikan Baitulmal dan mengharapkan simpati jiran tetangga untuk meringankan bebannya.
Lebih menyedihkan, anak bongsunya yang berusia tiga tahun terpaksa minum air kosong saja untuk menggantikan susu formula yang sepatutnya menjadi keperluan kanak-kanak itu berikutan ibu mereka tidak mampu membelinya.
Ibu tunggal itu, Rampairos Abdul Rahim, 36, berkata, dia tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan selepas mendapat pengesahan daripada doktor yang memaklumkan dia menghidapi penyakit asma dan kesukaran bernafas.
Katanya, dia cuba untuk bekerja dengan melakukan tugas ringan tetapi ternyata tidak mampu akibat penyakit kronik itu dan kini dia hanya duduk di rumah saja tidak mampu berbuat apa-apa.
“Perbelanjaan seharian kami hanya bergantung kepada bantuan yang diberikan Baitulmal dan simpati orang ramai dan setakat ini, saya amat berterima kasih kepada jiran tetangga yang tidak jemu memberi bantuan sama ada wang ringgit mahupun keperluan dapur.
“Walaupun begitu, ia masih tidak mencukupi berikutan kos sara hidup di sini lebih tinggi dan saya tidak tahu untuk ke mana selain berikhtiar untuk meneruskan kehidupan membesarkan anak-anak,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Katanya, dia bimbang faktor ekonomi keluarganya akan mengganggu pembelajaran anak sulungnya, Mohd Raihan Yasni, 12, yang akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa beberapa bulan lagi.
Sebelum ini, rumah keluarga berkenaan pernah disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan tunggakan kediaman mereka lebih RM4,000 dan terpaksa tinggal di pondok untuk beberapa hari sebelum DBKL membenarkan keluarga itu tinggal di rumah mereka semula.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat DBKL, Anwar Mohd Zin berkata, pihaknya amat prihatin dengan masalah kemiskinan yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan terutama ibu tunggal.
“Sebagai pihak yang bertanggungjawab, kami akan menyalurkan maklumat berhubung sesiapa saja yang menghadapi masalah ini kepada pihak Baitulmal untuk memohon bantuan daripada mereka dan kadar bantuan akan ditentukan Baitulmal.
“Saya dimaklumkan kadar bantuan itu ditentukan mengikut jumlah isi rumah keluarga berkenaan dan bantuan itu turut merangkumi sewa rumah, perbelanjaan makanan dan sekolah anak-anak,” katanya.
No comments:
Post a Comment