MARRAKESH 29 April - Satu serangan bom ke atas sekumpulan pelancong di sebuah kafe di dataran utama bandar Maghribi malam tadi menyebabkan 16 terkorban dan ia mendapat kecaman daripada pemimpin dunia.
Menurut pegawai tempatan, letupan bom tersebut berlaku di sebuah kafe di dataran Jamaa el-Fna, kawasan warisan budaya yang menjadi tumpuan jutaan pelancong setiap tahun.
Serangan tersebut mendapat kecaman para pemimpin dunia, antaranya ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon yang menyifatkannya sebagai tindakan pengecut.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Maghribi, Taib Cherkaoui berkata, daripada 16 orang yang maut itu, tiga adalah rakyat tempatan, 11 daripadanya adalah warga asing termasuk warga Perancis dan Belanda manakala 23 yang lain cedera.
Pegawai tempatan di wilayah Marrakesh menyatakan kemungkinan serangan tersebut merupakan angkara pengebom berani mati berikutan mereka menemui beberapa batang paku pada satu daripada mayat tersebut.
Penyiasat berkata, serangan tersebut mungkin didalangi oleh kumpulan militan al-Qaeda.
Sementara itu, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang menghubungi Raja Maghribi IV, Raja Mohammed menerusi telefon menyifatkan serangan yang mengorbankan lapan rakyatnya itu sangat kejam.
Dalam pada itu, kumpulan perisikan dan pakar anti pengganas Perancis akan ke Marrakesh hari ini bagi membantu masalah yang tercetus.
Menurut Menteri Komunikasi Maghribi, Khalid Naciri, serangan tersebut merupakan perbuatan pengganas sambil menjelaskan negara ini sedang menghadapi ancaman pengganas sama seperti pada Mei 2003.
Kejadian tersebut terus mendapat kritikan apabila Setiausaha Luar Negara Britain, William Hague serta Menteri Luar Negara Jerman, Guido Westerwelle mengatakan ia perbuatan keji oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. - AFP
No comments:
Post a Comment