KUALA TERENGGANU: “Ini istana buat kami sembilan beranak berteduh sejak enam tahun lalu dan ia tidak mempunyai bilik tidur, bilik air serta tidak mempunyai tandas selain tiada kelengkapan perabot seperti kebiasaan rumah lain,” kata Hamdan Mohd Zin, 49, dari Batu Empat Lorong Cempaka, Kuala Ibai.
Menurutnya, dia membina rumah yang dianggapnya istana itu di atas tanah rizab milik kerajaan berikutan tidak mempunyai tanah bagi mendirikan rumah, selain tidak mampu menyewa kediaman lain kerana pendapatannya tidak menentu. Katanya, pendapatannya bergantung kepada hasil memungut barangan lusuh seperti besi, plastik, botol dan kertas di sekitar bandar raya itu setiap hari.
Hamdan berkata, sekiranya barangan lusuh sukar diperoleh di bandar raya ini, dia berbasikal atau menunggang motosikal milik rakannya ke kawasan pedalaman negeri itu seperti ke Kampung Kuala Telemong, Pasir Tinggi Hulu Terengganu dan Bukit Payong, Marang mencari barangan lusuh.
“Biar tidak ada duit, namun prinsip saya tidak sesekali mengambil barangan lusuh milik seseorang kecuali diizinkan pemiliknya dan kerja saya mencari barangan lusuh hanya di kawasan pembuangan sampah dan tong sampah,” katanya yang mempunyai tujuh anak berusia antara dua hingga 14 tahun.
Hamdan berkata, tiga anaknya berusia 7, 9 dan 12 tahun belajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Ibai manakala dua anaknya berumur 13 dan 14 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman. Menurut Hamdan, keluarganya hanya menjamah nasi pada sebelah petang selepas dia memperoleh wang hasil menjual barangan lusuh.
Katanya, jiran yang prihatin dengan kehidupannya yang serba kekurangan turut membantu menghulurkan bantuan terutama makanan kepada keluarganya. “Saya tidak senang seperti orang lain. Dalam sebulan hendak makan lauk gulai pun payah dan kami kebiasaannya menjamah lauk ikan kering, telur dan ikan goreng,” katanya.
Namun, dia bersyukur kerana isterinya, Zaharah Ismail, 43, memahami kesusahan dan kepayahan hidupnya dan tabah menjaga anak ketika dia keluar bekerja mencari barangan lusuh.
No comments:
Post a Comment