Saturday, April 30, 2011

Minta bantuan dukun


BANDAR BAHARU: Seorang ketua keluarga kini kehilangan sumber pendapatan apabila tidak mampu menjalankan tugas hakiki sebagai penoreh getah apabila mendakwa diserang penyakit misteri sejak dua bulan lalu.
Isa Ibrahim Sam Hamat, 30, dari Kampung Cherok Meranti, di sini, mendakwa dia mula menyedari diserang lemah badan ketika sedang menoreh getah pada Februari lalu menyebabkannya tidak mampu bergerak dengan kuat.

Menurutnya, dia tidak mengetahui jenis penyakit yang dialaminya, tetapi doktor yang memberi rawatan di Hospital Kulim memaklumkan dirinya tidak mempunyai sebarang penyakit sebaliknya mengalami kekurangan kalsium dalam badan.

Katanya, dia berasa agak pelik kerana keadaan badannya begitu lemah sehingga tidak mampu bekerja menoreh getah sedangkan mempunyai empat anak berusia antara dua bulan hingga 10 tahun yang perlu ditanggung disebabkan isterinya, Salmiah Abdul Rahim, 31, hanya suri rumah.

“Sejak diserang penyakit ini, saya tidak lagi mampu bekerja kerana badan rasa terlalu lemah, malah untuk bangun pun rasa sukar. Malah, saya juga hairan kerana keadaan masih sama walaupun saya makan dalam jumlah banyak.

“Apa yang pelik ialah ketika masuk waktu Maghrib, penyakit ini akan menyerang sehingga saya berasa lemah pada bahagian kiri badan.


“Sebelum ini saya menyara keluarga dengan pendapatan sebagai penoreh getah untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan. Namun, selepas diserang penyakit misteri ini, kami kehilangan pendapatan kerana saya tidak boleh bekerja seperti biasa,” katanya.

Isa Ibrahim berkata demikian ketika ditemui selepas dikunjungi wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan yang turut memberi sumbangan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Cherok Meranti, Shamsul Mat Arif. Menceritakan semula kejadian menimpa dirinya, Isa Ibrahim berkata, dia sedang menoreh getah tiba-tiba berasa pening lalu terus terduduk di pangkal pokok getah tetapi sempat menghubungi abang iparnya menggunakan telefon bimbit yang dibawa.

Menurutnya, abang ipar bersama bapa mentuanya, Abdul Rahim Abu Bakar, 69, pergi ke kebun getah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya untuk melihat kejadian menimpa dirinya.

“Mereka kemudian memapah saya dan membawa ke rumah sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan kesihatan dan apa yang pelik, doktor memaklumkan saya tidak mempunyai apa-apa penyakit.

“Sejak kejadian itu, saya tidak boleh berdiri lama kerana akan berasa pening menyebabkan tidak boleh keluar bekerja. Kami sudah berusaha pelbagai cara termasuk menggunakan perubatan secara tradisional, namun penyakit ini masih belum sembuh.

“Justeru, saya berharap ada pihak terutama pengamal perubatan sudi membantu untuk memulihkan penyakit ini kerana menjadi tempat keluarga bergantung,” katanya.

Sementara itu, Helmy berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban keluarga terbabit, dan mereka yang ingin membantu boleh menghubungi talian 017- 5423245 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08221-29- 00014455-9.

No comments:

Post a Comment