Friday, April 1, 2011

Menteri Luar letak jawatan



TENTERA pemberontak lari menyelamatkan diri semasa dibedil oleh tentera setia kepada Muammar Gaddafi dekat Brega di timur Libya, semalam. – REUTERS


LONDON 31 Mac – Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menerima satu lagi tamparan apabila Menteri Luar, Mussa Kussa tiba di Britain lalu memberitahu pegawai-pegawai di sini bahawa beliau meletakkan jawatan dan tidak mahu lagi mewakili rejim di Tripoli.

Kussa tiba di Lapangan Terbang Farnborough, barat London, semalam.

“Beliau datang ke sini dengan kerelaan sendiri dan memberitahu kami, beliau meletakkan jawatan,” menurut satu kenyataan Jabatan Luar Britain.

Kenyataan itu menggambarkan Kussa sebagai seorang tokoh paling kanan dalam kerajaan Gaddafi dan berperanan mewakili rejim di peringkat antarabangsa, sesuatu yang beliau tidak lagi sanggup melakukannya.

“Kami menggalakkan mereka yang berada di sisi Gaddafi supaya meninggalkannya dan menerima masa depan lebih baik untuk Libya bagi membolehkan peralihan politik dan pembaharuan sebenar yang memenuhi aspirasi rakyat Libya,” menurut kenyataan itu.

Kussa, 59, tiba di London dari Tunisia, di mana beliau tinggal selama dua hari setelah memasuki negara jiran itu mengikut pintu sempadan Ras Jdir.

Tripoli dalam kenyataan rasmi menggambarkan lawatannya ke Tunisia sebagai ‘lawatan peribadi’.

Kemudian apabila beliau dilaporkan dalam perjalanan ke London, pihak berkuasa Libya berkata, beliau menjalankan ‘misi diplomatik’.

Peletakan jawatan Kussa adalah tamparan terbaru kepada rejim Gaddafi, selepas beberapa anggota kanannya termasuk menteri dan pegawai kanan tentera berpaling tadah sejak pemberontakan menentang pemerintahannya bermula lebih sebulan lalu.

Selaku Menteri Luar sejak Mac 2009, Kussa memainkan peranan penting dalam usaha Libya untuk menggilap reputasinya di peringkat antarabangsa sebelum berlaku krisis sekarang, termasuk dengan meyakinkan Gaddafi supaya membubarkan program nuklear Libya.

Sementara itu di Brussels, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengetuai semua operasi di Libya mulai 0600 GMT hari ini (2 petang waktu Malaysia), dengan mengambil alih peranan itu daripada tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi sejak 19 Mac lalu.

Pakatan 28 negara itu mengambil alih kuasa pemerintahan ke atas operasi udara antarabangsa di Libya, kata Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment