Friday, April 1, 2011

421,800 penganggur setakat Januari 2011


KUALA LUMPUR 31 Mac - Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam (gambar)berkata, bilangan penganggur dalam negara setakat Januari lalu ialah 421,800 orang atau mewakili kadar 3.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Katanya, kadar itu tetap membolehkan Malaysia diisytiharkan mencapai tahap guna tenaga penuh kerana dalam piawaian antarabangsa, sesebuah negara itu mencapai tahap sedemikian apabila kadar pengangguran berada di bawah empat peratus.
"Oleh yang demikian, walaupun sesebuah negara itu diisytihar sebagai guna tenaga penuh, ia tidak bermaksud bahawa tiada penduduk yang tidak mempunyai pekerjaan," katanya ketika menjawab soalan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Kulasegaran ingin tahu mengapa Malaysia diisytiharkan mencapai tahap guna tenaga penuh walaupun masih terdapat ramai penganggur dalam negara serta apakah langkah kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran tempatan.
Subramaniam menjelaskan, seseorang graduan gagal mendapat pekerjaan kerana faktor seperti kurang permintaan terhadap bidang pengajian yang telah mereka ikuti dan banyak majikan menetapkan pengalaman bekerja sebagai salah satu syarat pelantikan.
Selain itu, katanya, ada graduan tempatan kurang mahir berkomunikasi selain lemah menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris.
Bagi bukan graduan pula, menurutnya, mereka didapati mempunyai sikap terlalu memilih pekerjaan, mengharapkan gaji tinggi, kurang maklumat mengenai peluang pekerjaan dan tawaran gaji yang diterima tidak sepadan dengan kos sara hidup.
"Kerajaan antaranya telah membuka 12 pusat jobsMalaysia Center di seluruh negara pada setiap Sabtu mulai 8 pagi hingga 5 petang dan merancang 143 Program Penempatan Pekerjaan di seluruh negara.
Katanya, kementerian turut memperkenalkan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 bagi menggalakkan penyertaan golongan sasar di luar tenaga buruh untuk menyertai pasaran kerja.
Utusan Malaysia Online - Parlimen

No comments:

Post a Comment