Friday, April 1, 2011

Militan guna bom desak kerajaan Indonesia



JAKARTA 31 Mac – Ketua Agensi Antikeganasan Indonesia, Ansyaad Mbai berkata, militan di negara ini kini menggunakan bom bungkusan dan menyerang golongan minoriti dalam usaha memaksa kerajaan melaksanakan agenda Islam, dan mereka berupaya melancarkan lagi serangan kecil-kecilan.
Serangan militan dan insiden yang didorong oleh sikap tidak toleransi meningkat dalam beberapa minggu lalu, termasuk orang ramai membunuh tiga anggota pertubuhan ajaran sesat, Ahmadiyah dan membakar dua buah gereja di pulau Jawa.
Bom di dalam bungkusan telah dihantar kepada mereka yang terlibat dalam menggalakkan fahaman pluralisme dan memerangi keganasan di Jakarta.
Ansyaad berkata, pertubuhan Islam yang sebelum ini tidak terlibat dalam kegiatan militan kini menyertai sebuah rangkaian militan di Indonesia kerana mereka mempunyai persefahaman mengenai isu tertentu.
“Keganasan ialah politik kerana motifnya ialah politik dan matlamat rangkaian militan ternyata untuk mempengaruhi dasar politik,” kata Ansyaad dalam wawancara di pejabatnya di sebuah bangunan bekas penjajah di tengah ibu negara ini.
Beliau mendakwa kumpulan-kumpulan radikal mengenakan tekanan ke atas kerajaan supaya memenuhi tuntutan untuk membubarkan Ahmadiyah, pertubuhan yang disahkan sebagai sesat oleh para pemimpin Islam di negara ini.
Anggota Barisan Pembela Islam (FPI) yang dikenali kerana melancarkan operasi merosakkan kelab malam tetapi tidak dianggap sebagai kumpulan pengganas, mengancam untuk melancarkan revolusi jika Ahmadiyah tidak diharamkan.
Ansyaad berkata, gerakan berhaluan Islam di negara sekular ini akan bertambah berpengaruh jika kerajaan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, yang tidak mempunyai pendirian jelas berhubung isu itu, tunduk kepada tuntutan FPI.
“Presiden berkata kita tidak boleh ditundukkan oleh keganasan, tetapi saya berpendapat jika Ahmadiyah diharamkan, negara ini sudah tunduk,” kata Ansyaad.
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment