Saturday, April 2, 2011

PAS yakin menangi kerusi pertama di Sarawak-InsyaAllah





2011/04/02

SIBU: Setelah pulang dengan tangan kosong selepas dua pilihan raya negeri Sarawak, PAS yakin percubaan ketiga parti itu kali ini akan membuahkan kejayaan. 
PAS sedar yang parti itu tidak mendapat sokongan secukupnya daripada kalangan orang Islam, yang merupakan 26 peratus daripada populasi Sarawak, untuk memenangi kerusi pertamanya di negeri ini, dan dengan itu turut berusaha mendapatkan sokongan pengundi bukan Islam yang tidak berpuas hati. 
Ketua PAS negeri, Adam Ahid mendakwa "perubahan mood" di kalangan pengundi Islam dan bukan Islam akan membawa kebaikan kepada parti itu.
"Di Beting Maro pada pilihan raya negeri yang lepas, contohnya, terdapat hanya sebuah rumah panjang yang menyokong kami. Kini, terdapat tiga buah rumah panjang yang telah menyatakan sokongan kepada kami," katanya. Beting Maro, kawasan majoriti Melayu di Sri Aman, adalah satu daripada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh PAS, yang telah melebarkan sayapnya ke Sarawak pada 1996. Empat lagi DUN ialah Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu.
Adam berkata PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan di Miri untuk mendekati pengundi Islam dan bukan Islam di kawasan bandar. 
Bagi mendapatkan sokongan masyarakat Iban, beliau berkata PAS akan menumpukan pada tanah hak adat (NCR), isu yang dekat dengan hati mereka. 
Adam berkata parti itu akan meletakkan calon berwibawa dengan latar belakang profesional. 
"Kami tidak mahu terlalu yakin, tetapi kami sedang berusaha melahirkan apa yang kami panggil "Anak Sulung PAS"," katanya. 
Penganalisis politik, bagaimanapun, berpendapat adalah mustahil untuk PAS memasuki Dewan Undangan Negeri. 
Menurut pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Awang Azman Awang Pawi, laluan "amat sukar" bagi PAS berikutan latar belakang penduduk yang terdiri daripada pelbagai agama, kebudayaan dan etnik. 
"Rakyat masih sukar untuk menerima ideologi sebuah negara Islam, dan PAS dianggap sebagai sebuah parti ekstremis," katanya. Awang Azman berkata PAS telah disamakan dengan penduduk Islam di Mesir, dianggap sebagai pergerakan Islam paling berpengaruh di dunia, dan keadaan itu telah menakutkan banyak orang. 
"Faktor lain ialah kaum Bumiputera, sama ada Islam dan bukan Islam, lebih selesa dengan PBB daripada PAS yang berpangkalan di Semenanjung," katanya. 
"Bumiputera Islam ialah minoriti di negeri ini, tetapi pencapaian mereka dalam bidang pendidikan dan ekonomi agak signifikan, dan rakyat menghargainya," katanya. - BERNAMA
bharian

No comments:

Post a Comment