Saturday, April 2, 2011

Bapa rayu anak dipulangkan



BERA – Seorang bapa merayu mana-mana pihak yang boleh membantunya membawa anak perempuan, Tab Xin Ru, 8, pulang ke pangkuannya yang kini berada bersama bekas isteri di Batam, Indonesia.

Tan Eng Keong, 31, berkata, setelah dua tahun Xin Ru disorokkan bekas isterinya, Pau Moi Moi, 32, hanya minggu lalu dia dapat berjumpa dengan anaknya.

Menurutnya, pertemuan selama lima jam itu tidak memadai kerana mahkamah memutuskan dia memiliki hak penjagaan sepenuhnya terhadap anaknya itu.

“Sebelum ini, bekas isteri saya memang tidak rapat dengan anak kami, malah dia sering mengelak menjaganya dan selalu pulang ke negara asal.

“Setiap kali dihubungi supaya pulang, pelbagai alasan diberikan. Justeru, kami sepakat untuk bercerai pada 2007 dan bekas isteri bersetuju menyerahkan anak kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada akhir 2008, Moi Moi memohon supaya membawa Xin Ru ke Batam dengan alasan terlalu merindui anak mereka.

Bagaimanapun, ketika Eng Keong ke Batam untuk menjemput anaknya, mereka sudah tiada dan hilang jejak dari tempat tinggal mereka.

“Berbagai-bagai usaha dilakukan termasuk membuat laporan polis di kedua-dua negara, mengadu melalui MCA dan UMNO dan menyiarkan penderitaan dalam akhbar tempatan dan Indonesia.

“Anak saya adalah warga tempatan dan saya mahu dia tinggal bersama saya di sini,” katanya.

Menurutnya, selepas pertemuan lima jam itu, dia tidak lagi dapat bercakap dengan anaknya melalui telefon kerana tidak berjawab.

Eng Keong terpaksa mengambil cuti panjang semata-mata untuk menyelesaikan masalah ini lebih-lebih lagi membabitkan dua negara yang mempunyai perbezaan undang-undang.

Beliau berharap, ada pihak yang sanggup membantunya membawa Xin Ru pulang ke negara ini secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment