Saturday, April 2, 2011

Siasat dakwaan Shamsul Iskandar miliki video seks



AYER KEROH - Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini semalam, membuat dua laporan polis berikutan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendakwa memiliki video seks beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN).

Laporan dibuat di Balai Polis Ayer Keroh, kira-kira jam 5.30 petang oleh Naib Pengerusi Sekretariat Pemikir dan Perpaduan Melayu, Ramli Mohd Tahir.

Beliau menggesa polis menyiasat dakwaan Shamsul Iskandar yang diulas di dalam beberapa blog bahawa pemimpin itu memiliki video seks berkenaan tetapi tidak akan mendedahkannya atas alasan moral.

Presiden Sekretariat Pemikir dan Perpaduan Melayu, Shahrul Azuwar Abdul Aziz berkata, mungkin tujuan laporan dalam blog itu dibuat supaya ia dijadikan propaganda untuk mengalihkan perhatian awam selepas pemimpin parti berkenaan terpalit dengan skandal video seks, baru-baru ini.

“Kita juga tidak mahu ia dijadikan isu pada pilihan raya umum Sarawak tidak lama lagi dan kami tidak akan berkompromi jika benar dakwaan video seks berkenaan benar-benar wujud.

“Sama ada pemimpin pembangkang atau kerajaan, jika memang terlibat skandal seks, mereka wajar disingkirkan,” katanya, semalam.

Justeru menurutnya, Sekretariat Pemikir dan Perpaduan Melayu serta beberapa NGO termasuk GPMS, Pekida dan Persatuan Ketua-ketua Kampung (Sidang) Negeri Melaka meminta Shamsul Iskandar tampil membuktikan bahawa beliau memiliki video seks berkenaan.

:Semalam, sebuah akhbar tempatan menyiarkan kenyataan bekas Setiausaha Sulit Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari yang mencabar Shamsul Iskandar supaya membuktikan dakwaannya memiliki video seks beberapa pemimpin BN.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi Shamsul Iskandar gagal apabila taliannya di luar kawasan liputan namun setakat semalam, Ketua Penerangan AMK Melaka, Hairiz Nordin menyatakan bahawa pemimpin menafikan ada membuat kenyataan berkenaan.

No comments:

Post a Comment