Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Imah, 35, berkata, dia juga kesal kerana kejadian itu berlaku di depan dua adik lelaki kerana baginya ia cukup memalukan.
“Tuhan saja yang tahu betapa pedihnya hati apabila suami sendiri tergamak melakukan perkara itu terhadap saya.
“Selama 16 tahun kami berkahwin sehingga mendapat tujuh anak, saya melakukan yang terbaik untuk rumah tangga kami. Tetapi ini balasannya kepada saya,” katanya, semalam.
Wanita itu pergi ke Balok, bagi mengunjungi suaminya yang bekerja di sana dan berlaku pertengkaran antara mereka, selepas dia berjaya ‘menangkap’ suaminya bermain kayu tiga dengan wanita lain.
Ketika cuba memujuk suami kembali ke pangkuan keluarga, dia dimarahi suaminya dan lebih pedih apabila suaminya melafazkan talak beberapa kali.
Lelaki itu kemudian menolak Imah dengan kuat menyebabkannya jatuh terlentang dan kereta dipandu suaminya kemudian menggilis lutut kanan Imah.
Menurut Imah, dia juga berasa dirinya diperbodoh dan diperguna oleh suami kerana ia adalah perbuatan sama kali kedua dilakukan lelaki berkenaan.
“Suami saya pernah menjalin hubungan sulit dengan wanita lain kira-kira dua tahun lalu ketika bekerja di Kuala Terengganu.
“Namun, hubungan itu hanya bertahan enam bulan dan saya memaafkannya selepas dia berjanji akan berubah di samping menyesali perbuatan itu,” katanya.
Menurutnya, jika sebelum ini suaminya sentiasa bercakap dalam nada lemah lembut tetapi bertukar bengis dan sering marah-marah sejak mempunyai hubungan sulit dengan janda beranak dua di Kuantan.
“Malah, saya juga dimarahi dengan menjadikan alasan sikap saya yang sering bertanya mengapa dia jarang pulang ke rumah dan tidak menjawab panggilan telefon sejak mendapat kerja di Kuantan memeningkannya padahal sebelum ini dia tidak seperti itu.
“Saya juga kesal apabila dia tidak mempedulikan anak-anak. Anak bongsu pernah dimasukkan ke hospital kerana keracunan akibat tertelan lingkaran ubat nyamuk tetapi dia langsung tidak pulang menjenguk anak yang sakit walaupun sudah banyak kali diberitahu melalui SMS,” katanya.
Imah kini terlantar di rumah dan tidak dapat bergerak melakukan kerja harian kerana kecederaan pada lututnya yang membengkak.
“Saya tidak dapat berjalan, nak berdiri pun susah. Dua adik lelaki saya bergilir-gilir menjaga dan menguruskan saya serta anak-anak.
“Saya bersyukur dapat melihat sendiri kecurangan suami kerana bertemunya ketika dia bersama wanita itu kerana akhirnya saya dapat mengesahkan khabar angin selama ini,” katanya.
Imah bercadang ke pejabat agama bagi menyelesaikan kes perceraiannya selepas kecederaan lututnya pulih tetapi belum pasti mengenai nasib anak-anak dan menegaskan tidak mahu suami bersikap lepas tangan membiarkannya seorang diri memelihara mereka.
No comments:
Post a Comment