Sunday, May 1, 2011

Anwar patut sumpah nafi tuduhan


Kes babit video seks aibkan masyarakat Islam, perlu diselesai segera: Mufti


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya bersumpah menafikan beliau adalah pelaku dalam video seks yang didedahkan, bukan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang patut berbuat demikian, kata Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya. 

Ketika dihubungi di Makkah semalam, Juanda berkata memadai bagi Anwar bersumpah dengan berkata ‘Wallahi tuduhan itu palsu’.
Beliau berkata, dalam hukum Islam, kaedah yang diamalkan dalam kes jenayah seperti ini ialah pendakwa perlu membukti pertuduhan dan yang kena tuduh bersumpah menafikan tuduhan.
“Datuk Shazryl Eskay tidak patut bersumpah, yang patut bersumpah adalah orang yang kena tuduh (Anwar) bagi menafikan tuduhan itu,” katanya kepada Berita Minggu, semalam. 

Juanda turut berkata, beliau mahu kes membabitkan video seks berkenaan diselesaikan dengan segera kerana ia memalukan umat Islam. 

“Mahkamah Syariah perlu proaktif memutuskan hal ini dengan segera untuk menutup aib umat Islam, bukan menjadi penonton saja. Semua pihak perlu menjaga imej Islam,” katanya. 

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata beliau tidak ditemui atau dihubungi Anwar bagi mendapatkan nasihat berhubung sumpah laknat untuk membuktikan ketua pembangkang itu bukan pelaku dalam video seks. 
Sebaliknya, beliau tidak menolak kemungkinan Anwar menggunakan kenyataannya yang disiarkan dalam beberapa portal berita untuk tidak bersumpah laknat seperti dilakukan Shazryl Eskay, kelmarin. 

Beliau turut menafikan ada menzahirkan kata-kata simpati terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu. 

“Saya tidak pernah dihubungi atau ditemui Anwar untuk mendapatkan pandangan saya mengenai sumpah laknat, mungkin dia berpandu kepada kenyataan saya baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Harussani antara tokoh agama yang didakwa Anwar memberi nasihat kepadanya untuk tidak bersumpah laknat, malah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menasihatkan beliau supaya tidak melayan desakan untuk bersumpah laknat kerana tuduhan yang dikenakan terhadapnya perlu diselesaikan di mahkamah syariah. 

Dalam ucapan di Dewan Kampung Bukit Seputeh, malam kelmarin, Anwar mendakwa beberapa bekas mufti seperti bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan bekas Mufti Perlis menasihatkannya selain Harussani dan menyatakan simpati tuduhan zina yang dikenakan terhadapnya. 

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengesahkan upacara sumpah laknat Shazryl Eskay di Masjid Amru Ibni Al-As kelmarin mendapat kebenaran pihaknya dan juga jawatankuasa kariah masjid itu. 

Ketua Pengarah JAWI, Datuk Che Mat Che Ali menegaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana pihak atau individu Islam hendak mengadakan upacara seumpama itu di dalam masjid bawah kawal seliaan mereka. 

“Ada 140 masjid di dalam Wilayah Persekutuan dan mereka boleh pilih masjid mana mereka hendak adakan majlis itu. Pada mulanya mereka memilih Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta untuk adakan majlis itu, dan kita benarkan.

“Selepas itu mereka ubah fikiran dan memilih Masjid Amru Ibni Al-As Bandar Baru Sentul. Kita benarkan. Sumpah laknat boleh dibuat di dalam atau di luar masjid. Tetapi lebih baik di dalam masjid sebab menyebut nama Allah,” katanya kepada Berita Minggu, semalam. , bharian

No comments:

Post a Comment