Sunday, May 1, 2011

Calon SPM sakit jantung tersumbat



SITI BASHAH menemani Siti Nor Haleeda  mengulang kaji pelajaran di rumah mereka di Kampung Madrasah, Kuala Kedah. - Foto Syaharim Abidin
SITI BASHAH menemani Siti Nor Haleeda mengulang kaji pelajaran di rumah mereka di Kampung Madrasah, Kuala Kedah. - Foto Syaharim Abidin

Keluarga mohon sumbangan biaya rawatan

ALOR SETAR: Ketika rakan sebaya sibuk mengulang kaji pelajaran, termasuk ke kelas tuisyen sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), November depan, keadaan berbeza bagi Siti Nor Haleeda Abdul Razak, 17, kerana penyakit jantung tersumbat yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu semakin kritikal. 

Siti Nor Haleeda yang juga pelajar Sekolah Menengah Sri Pantai, Kuala Kedah, dekat sini kerap pengsan di rumahnya kerana denyutan jantung lebih laju sehingga pernafasannya terganggu.
Remaja yang kerap pucat dan tidak bermaya itu sudah empat kali melakukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan doktor mengesahkan ada urat berlebihan pada jantungnya yang perlu dibuang untuk melancarkan pernafasan.
Siti yang ditemui di rumahnya di Kampung Madrasah Lama, Kuala Kedah, baru-baru ini, bersyukur kerana ada pihak sudi hulurkan bantuan untuk menampung kos pembedahan RM3,000 di IJN pada 1 Jun ini. 

Anak kelima daripada tujuh beradik yang bercita-cita menjadi pegawai polis itu berkata, dia sudah sedia menjalani pembedahan walaupun dihantui perasaan takut kerana tidak sanggup lagi terus menanggung derita. 

“Sudah 10 tahun saya menderita kerana penyakit ini dan sejak itu saya sering ketinggalan dalam pelajaran dan terpaksa meninggalkan sukan balapan yang menjadi kegemaran. 

“Inilah harapan saya dan berdoa semoga pembedahan ini berjaya. Tambahan pula saya bakal menduduki SPM tahun ini. Saya berharap pembedahan ini berjaya supaya saya boleh mengulang kaji pelajaran dan ke sekolah seperti rakan lain. Saya tidak mahu lagi menghabiskan masa di katil hospital dan bergantung kepada ubat,” katanya. 
Difahamkan kos pembedahan ialah RM45,000, namun ia dikurangkan kepada RM3,000. Baru-baru ini, Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) menyumbangkan RM3,000 untuk membolehkan gadis berkenaan menjalani pembedahan. 

Sementara itu, ibunya, Siti Bashah Ismail, 57, berkata, kesempitan hidup termasuk pendapatan tidak menentu suaminya, Abdul Razak Awang Kechik, 54, tidak mencukupi untuk menanggung rawatan dan pembedahan anak gadisnya itu. 

“Saya juga bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM600 sebulan demi membantu suami menyara keluarga. Sejak Siti menghidap penyakit jantung kami banyak menghabiskan wang membayar kos rawatan susulan dan pengangkutan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini dan IJN. 

“Saya berdoa siang dan malam memohon Allah menyembuhkan penyakitnya kerana sudah lama anak saya menderita kerana penyakit ini dan sebagai ibu saya sedih melihat keadaannya begitu,” katanya. 

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Abdul Razak di 013-5374395 atau menerusi akaun Agro Bank 1-00-5071-00004003-3-3. , bharian

No comments:

Post a Comment