Tuesday, May 31, 2011

Jerman mahu tutup semua reaktor nuklear




GAMBAR fail bertarikh 15 Mac, 2011 merakamkan loji nuklear Neckarwestheim di selatan Jerman. - Agensi


BERLIN 30 Mei - Jerman hari ini mengumumkan rancangan untuk menutup kesemua loji nuklearnya secara berperingkat-peringkat sehingga 2022 ekoran kesedaran daripada bencana loji nuklear di Jepun, baru-baru ini.
Sekali gus ia menjadi negara perindustrian utama pertama menutup kesemua loji nuklearnya didorong oleh krisis nuklear di Jepun, kata Menteri Alam Sekitar, Norbert Roettgen.
Beliau mengumumkan keputusan kerajaan campuran berhaluan tengah kanan itu ekoran krisis loji nuklear Fukushima di Jepun dan tidak akan menarik balik keputusan itu.
"Selepas mengadakan perundingan yang panjang, sekarang kami ada persetujuan daripada kerajaan campuran untuk menutup loji nuklear.
"Keputusan ini konsisten, muktamad dan jelas," katanya selepas berunding selama tujuh jam di pejabat Canselor Angela Merkel.
Jerman mempunyai 17 reaktor nuklear, lapan daripadanya kini tidak menjana elektrik di grid tenaga elektrik.
Tujuh daripada lapan loji nuklear itu yang kini tidak berfungsi merupakan reaktor nuklear tertua negara ini dan Kerajaan Persekutuan telah menutupnya selama tiga bulan, sementara menunggu pemeriksaan keselamatan selepas berlaku bencana nuklear di Jepun pada Mac lalu.
Reaktor kelapan merupakan loji Kruemmel yang terletak di utara Jerman yang telah bertahun-tahun tidak berfungsi kerana mengalami masalah teknikal.
Namun, keputusan itu juga bermakna Jerman perlu mencari alternatof bagaimana untuk memenuhi keperluan tambahan penggunaan tenaga elektriknya berjumlah 22 peratus buat masa ini yang dijana oleh reaktor nuklear. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment