Tuesday, May 31, 2011

Presiden Afrika Selatan lawat Libya



BENGHAZI, Libya 30 Mei – Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dijadual tiba di Tripoli hari ini bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, yang dikatakan bagi membincangkan pengunduran pemimpin Libya itu.
Sumber pejabat Zuma berkata, tujuan lawatan itu adalah untuk membincangkan strategi pengunduran Gaddafi.
Satu lagi sumber berkata, Afrika Selatan bekerjasama dengan Turki untuk membincangkan pelan pengunduran Gaddafi.
Jurucakap Zuma, Zizi Kodwa berkata, perbincangan berhubung strategi pengunduran itu agak mengelirukan kerana lawatan Presiden Afrika Selatan ke Libya itu sejajar dengan usaha Kesatuan Afrika bagi membantu Libya melaksanakan pembaharuan politik bagi menamatkan krisis di negara ini.
Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaaim mengesahkan lawatan Zuma hari ini, namun tidak menyatakan sama ada pengunduran Gaddafi akan dibincangkan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sehari sebelum lawatan Zuma ke Libya, Kongres Kebangsaan Afrika pimpinan Presiden Afrika Selatan itu mengutuk serangan NATO ke atas Libya.
‘‘Kami bersama negara lain di benua ini dan pencinta keamanan di seluruh dunia mengutuk serangan udara berterusan di Libya,’’ kata parti itu selepas mesyuarat Majis Eksekutifnya sejak dua hari lalu.
Turki bulan lepas mencadangkan kepada komuniti antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU) satu pelan damai bagi menamatkan krisis Libya yang menyaksikan pengunduran Gaddafi dan membuka laluan kepada pembaharuan politik.
Sementara itu, kumpulan pemberontak Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) memohon komuniti antarabangsa memberi bantuan kewangan kepada kumpulan pemberontak. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments:

Post a Comment