Wednesday, May 25, 2011

Osama tidak rancang serangan

WASHINGTON: Tiada bukti khusus atau ancaman besar ditemui daripada barangan yang dirampas dari tempat persembunyian Osama bin Laden di Pakistan.
Pegawai antikeganasan barat berkata demikian, sekali gus meningkatkan persoalan sama ada Osama benar-benar menguasai al-Qaeda.

Pembantu Presiden Barack Obama sebelum ini berkata, bukti yang dirampas selepas serbuan dan pembunuhan Osama oleh tentera Amerika Syarikat di Abbottabad menunjukkan Osama, meskipun hidup terpencil selama beberapa tahun, masih mengekalkan hubungan ‘operasi’ dengan elemen al-Qaeda di medan pertempuran.
Tetapi penganalisis yang rapat dengan siasatan terbaru barangan milik Osama, dipercayai terdiri daripada sejumlah besar data elektronik, berkata, meskipun Osama terbabit dalam memberi semangat dan dorongan, tidak ada bukti menunjukkan beliau terlibat dengan sebarang rancangan untuk melancarkan serangan.

“Saya tidak dengar mengenai sebarang ancaman besar,” kata Peter Bergen, pakar antikeganasan di Yayasan New American yang pernah menemuramah Osama.

“Jika benar ada maklumat mengenai ancaman, pihak berkuasa Amerika sudah pasti mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan serangan seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara tahun lalu,” katanya.
Seorang pegawai perisikan Amerika mengesahkan kepada Reuters bahawa tidak ada maklumat mengenai sebarang rancangan serangan atau ancaman terkini yang ditemui setakat ini daripada barangan yang dirampas selepas pembunuhan Osama. — Reuters.
myMetro | Osama tidak rancang serangan

No comments:

Post a Comment