Wednesday, June 8, 2011

15 gerai terbiar setahun

Pembinaan 15  gerai  di kawasan  Jengka Street  menimbulkan pelbagai pertanyaan  kerana premis  masih terbiar.
Pembinaan 15 gerai di kawasan Jengka Street menimbulkan pelbagai pertanyaan kerana premis masih terbiar.
Misteri premis Jalan Jengka tersadai tanpa kegiatan ekonomi

BANDAR JENGKA: Milik siapa? Pembinaan 15 gerai di Jalan Jengka dekat sini menimbulkan pelbagai tanda tanya di kalangan penduduk setempat kerana premis yang siap sejak awal tahun lalu itu masih terbiar.

Kawasan pembinaan gerai berkenaan amat strategik kerana kedudukan di jalan utama yang menghubungkan bandar ini ke Maran dan Temerloh, serta sering menjadi tumpuan orang ramai.
Namun, gerai itu kini terbiar malah ada antara gerai berkenaan yang dijadikan tempat longgokan sampah.
Sehubungan itu, penduduk meminta pihak terbabit menyewakan segera atau menjualkan ruang niaga itu kepada peniaga atau penduduk tempatan yang berminat menjalankan perniagaan.

Berita Harian difahamkan pembinaan itu bertujuan memindahkan peniaga di kawasan Matau kerana kawasan itu dicadangkan dibangunkan kompleks niaga yang lebih teratur.

Penduduk, Zabedah Mohd Ali, 53, berkata Majlis Daerah Maran (MDM) seharusnya membuka peluang kepada peniaga tempatan yang lain memohon untuk menjalankan perniagaan.

Katanya, lebih baik pihak berkuasa mengutamakan peniaga yang tinggal di kawasan tanah rancangan FELDA serta berminat menjalankan perniagaan memiliki kedai berkenaan.
“Banyak peluang perniagaan yang boleh dijalankan di kawasan itu termasuklah menjual buah-buahan tempatan, pakaian, gerai makan serta kedai runcit.

“Kawasan ruang niaga berkenaan amat strategik kerana berhampiran kilang ALPS serta kawasan laluan utama dari bandar ini ke Kuantan, Maran, Sungai Jerik dan Temerloh,” katanya.

Beliau berkata, MDM perlu membuka peluang kepada peniaga yang berminat memohon mendapatkan gerai berkenaan.

Mohd Zaidi Ahmad, 52, pula bimbang gerai berkenaan akan menjadi sasaran perbuatan vandalisme sekiranya dibiarkan tanpa perhatian dan kawalan.

Katanya, pihak berkuasa perlu memanfaatkan kemudahan yang ada kerana sudah berbelanja besar bagi membina gerai berkenaan.

“Saya yakin, kawasan berkenaan amat sesuai dijadikan pusat perniagaan kerana kedudukannya berdekatan dengan beberapa tanah rancangan FELDA Wilayah Jengka.
Berita Harian Online | 15 gerai terbiar setahun

No comments:

Post a Comment